Nama bekas jurulatih Thailand, Mano Polking kembali menjadi sebutan apabila beliau sah membimbing kelab V. League 1, Cong An Ha Noi (CAHN) FC.
CAHN terpaksa mencari jurulatih baru selepas legenda Thailand, Kiatisuk Senamuang mengumumkan keputusan untuk meninggalkan pasukan itu secara mengejut baru-baru ini.
Kiatisuk berbuat demikian atas alasan ingin kembali ke Thailand selepas beberapa tahun berkelana di Vietnam sebagai jurulatih.
Keadaan ini memaksa pengurusan CAHN mencari jurulatih baru untuk membimbing pasukan itu mengharungi baki saingan liga musim 2023/24.
Dan hari ini, ASEAN Football melaporkan Polking telah menerima tawaran kontrak sebagai jurulatih CAHN yang baru.
Sebelum ini, CAHN pernah berusaha mendapatkan bekas pengendali Bangkok United itu sebagai pengganti jurulatih Korea Selatan, Gong Oh-kyun tetapi gagal. Keadaan ini mendorong CAHN membawa masuk Kiatisuk sebagai jurulatih tetap pada Januari lalu.
Ini bukan kali pertama Polking menggalas peranan jurulatih di bumi Vietnam. Beliau pernah melatih kelab Ho Chi Minh City FC dari 2020 hingga 2021.
Magis Polking dijangka ditagih untuk membantu juara V. League 1 itu mempertahankan mahkota kejuaraan mereka untuk musim ini.
Ketika ini, mereka ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Nam Dinh dengan baki enam perlawanan.
Menariknya, perlantikan Polking sebagai jurulatih CAHN bakal menjanjikan saingan lebih sengit dalam Kumpulan B Shopee Cup.
Ini kerana kelab Vietnam itu bakal bersaing dengan KL City FC, Lion City Sailors, Kaya FC-Iloilo, Buriram United dan Borneo FC.