Mano Polking Yakin Hasrat Thailand Ke Piala Dunia Masih Cerah
MakanBola
Changsuek

Jurulatih Thailand, Mano Polking percaya negara itu masih memiliki peluang cerah layak ke Piala Dunia 2026.

Ini selepas skuad Gajah Perang menunjukkan persembahan hebat menentang Iraq pada aksi final Thai King’s Cup 2023 semalam. Biarpun tewas 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti, keupayaan Thailand mengikat Lions of Mesopotamia 2-2 dalam tempoh 90 minit patut mendapat pujian.

Ini kerana Iraq merupakan pasukan ketujuh terbaik di benua Asia. Dan Polking percaya sekiranya persembahan ini dapat diulangi pada masa akan datang, tidak mustahil cita-cita Thailand ke Piala Dunia 2026 akan tercapai.

“Semua orang menunjukkan mereka telah beri yang terbaik. Jangan lupa Iraq pasukan ketujuh terbaik di Asia tetapi hari ini Thailand telah buktikan bahawa kita juga pasukan yang bagus.

“Selepas perlawanan, saya cakap semua dalam bilik persalinan, ‘Jika anda bermain dengan yakin menentang pasukan ketujuh terbaik di Asia seperti ini, cita-cita ke Piala Dunia tidak mustahil boleh dicapai.’ Baik pemain atau jurulatih, kena ada keyakinan,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam seperti dilaporkan SiamSport.

Thailand selepas ini akan mengharungi dua aksi persahabatan di Eropah pada Oktober ini. Mereka akan menentang Georgia pada 12 Oktober sebelum menentang Estonia lima hari kemudian.

Kesemua dua perlawanan ini akan diadakan di Tbilisi, Georgia. Setelah itu, skuad Gajah Perang akan memulakan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang China pada 16 November ini.