Pemain sayap Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo berpotensi terlepas peluang beraksi di pentas final Unifi Piala Malaysia 2024/25.
Ini selepas beliau dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zamzaidi Katimin pada minit ke-75 dalam aksi separuh akhir pertama menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 18 Januari lalu.
Hidalgo dibuang padang kerana pegawai VAR, Razlan Joffri Ali mengesan tindakannya memijak kaki bek tengah Sang Badak, Dominic Tan semasa cuba mendapatkan bola.
Selepas melihat insiden yang dinyatakan di monitor, Zamzaidi kemudiannya mengeluarkan kad merah ke atas bekas pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu.
Keputusan beliau mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain Tok Gajah. Walau bagaimanapun, Zamzaidi tetap berpegang dengan keputusannya.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1. Stuart Wilkin dan Kpah Sherman masing-masing meledakkan gol buat Sabah dan Sri Pahang.
Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan pemain sayap berusia 25 tahun itu perlu menjalani penggantungan dua perlawanan.
Ini bermakna Hidalgo bukan saja perlu melupakan aksi separuh akhir kedua di Temerloh pada 2 Februari. Malah, beliau juga perlu melupakan aksi final seandainya Sri Pahang berjaya mara.
“Kad merah. Manuel Hidalgo terlepas aksi separuh akhir kedua dan final Piala Malaysia andai Tok Gajah meneruskan kemaraan,” katanya di X.
Situasi ini dijangka merumitkan perancangan jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad untuk aksi separuh akhir kedua di Temerloh nanti.
Beliau mempunyai pilihan sama ada menurunkan Baqiuddin Shamsudin, Sean Selvaraj atau T. Saravanan sebagai pengganti Hidalgo untuk aksi berkenaan.