Sebanyak 3 tawaran kontrak lumayan oleh kelab Arab Saudi telah ditolak oleh penyerang Manchester United, Marcus Rashford.
Rashford ketika ini menghadapi detik sukar bersama United apabila kerap kali disisihkan dari senarai kesebelasan utama meskipun dengan kehadiran Ruben Amorim selaku pengurus baharu.
Malah, berdasarkan laporan akhbar tempatan, kelab gergasi Manchester itu turut bersedia untuk melepaskan Rashford dengan jendela perpindahan musim sejuk ketika ini telah pun dibuka.
Memetik laporan Daily Mail, Marcus Rashford telah menolak 3 kontrak bernilai 9 angka yang ditawarkan oleh salah satu kelab Arab Saudi yang jelas sekali mahu membawa beliau ke sana.
”Marcus Rashford telah menolak 3 tawaran dari kelab Arab Saudi yang mencecah sehingga 35 juta Euro (RM163 juta) setahun,” lapor Daily Mail.
Marcus Rashford dan United ketika ini sedang bersiap sedia bagi menghadapi dua ujian berat berdepan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan Arsenal dalam saingan Piala FA.