Ruben Amorim menzahirkan penghargaan khas dan ucapan terima kasih buat semua peminat Manchester United.
Manchester United ketika ini berada dalam situasi genting apabila sekadar mengutip 22 mata setelah 19 perlawanan, 6 mata di atas zon penyingkiran dan berada di tangga ke-14 carta liga.
Lebih memeritkan apabila United kecundang buat kali ke-9 di tangan Newcastle United yang juga kekalahan ke-4 berturut-turut yang dialami oleh The Red Devils dalam tempoh kurang 14 hari.
Amorim dalam satu kenyataan sempat menzahirkan ucapan terima kasih bagi pihak kelab buat semua penyokong setia Manchester United sempena perayaan tahun baru 2025 ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda bagi pihak semua di Manchester United atas sokongan setia anda dan mendoakan yang terbaik untuk tahun baru,” ujar Amorim.
Jelas beliau, situasi semasa United ketika ini memerlukan usaha lebih keras dari semua pihak dan akui teruja untuk melihat apa yang boleh dicapai pada tahun 2025 yang sudah tiba.
“Saya tahu ia memerlukan usaha keras dari semua pihak untuk mencapainya, tetapi saya sangat teruja dengan apa yang boleh kita capai bersama pada tahun 2025,” tambah pengurus berusia 40 tahun itu.
Ujian berat menanti Ruben Amorim dan Manchester United selepas ini apabila bakal bertemu pendahulu liga, Liverpool di Anfield sebelum berdepan Arsenal bagi aksi saingan Piala Fa.