Vietnam terpaksa membayar harga mahal untuk menempah tiket final ASEAN Championship 2024.
Pahlawan Bintang Emas meraih kemenangan 3-1 ke atas Singapura dalam aksi separuh akhir kedua pada 29 Disember lalu.
Dua peledak utama Vietnam, Nguyen Xuan Son dan Nguyen Tien Linh memastikan The Lions merana lagi dengan menyumbat gol dalam aksi itu. Kyoga Nakamura menyumbat gol saguhati buat Singapura.
Kemenangan 5-1 secara agregat memastikan Vietnam mara ke final buat kali kelima dalam sejarah ASEAN Championship.
Meskipun begitu, pengendali Vietnam, Kim Sang-sik bimbang dengan tahap kecergasan tiga pemain tonggak iaitu Vu Van Thanh, Pham Xuan Manh dan Ho Tan Tai.
Ini selepas tiga pemain berkenaan mengalami kecederaan dalam aksi menentang Singapura. Masalah kecederaan yang menimpa Tan Tai yang disifatkan paling serius.
“Esok, Tan Tai akan pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan, beliau mengalami kesakitan yang teruk. Buat masa ini, kita hanya boleh berharap kecederaan Tan Tai tidaklah terlalu serius,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.
Sekiranya situasi kecederaan Tan Tai serius, Vietnam bakal kehilangan seorang lagi tonggak untuk aksi final.
Sebelum ini, Sang-sik terpaksa melupakan hasrat memanfaatkan khidmat Nguyen Van Toan. Ini kerana penyerang Nam Dinh itu perlu berehat selama dua minggu akibat kecederaan.
Meskipun dibadai masalah kecederaan, Sang-sik tetap bangga kerana dapat membawa Vietnam mara ke final ASEAN Championship 2024.
“Saya gembira kerana dapat mencapai sasaran saya dengan pasukan Vietnam. Terima kasih kepada penyokong kerana datang ke stadium untuk menyokong pasukan, pemain-pemain berjuang dengan hebat,” tambahnya.
“Ini hanya permulaan bagi kita, harapnya pemain-pemain akan bekerja lebih keras untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.”
Vietnam kini menanti pemenang antara Thailand dan Filipina sebagai lawan mereka di pentas final.