Advertising
Masatada Ishii Kecewa Thailand Gagal Pertahan Gelaran Juara
MakanBola
Changsuek

Jurulatih Thailand, Masatada Ishii mengakui kecewa melihat pasukan itu gagal mempertahankan gelaran juara ASEAN Championship.

Thailand gagal menambah gelaran juara buat kali kelapan apabila tewas 5-3 secara agregat kepada Vietnam. Ini susulan kekalahan 3-2 pasukan itu di Stadium Rajamangala pada 5 Januari lalu.

Ad

Gajah Perang pada satu ketika berjaya menyamakan kedudukan 3-3 menerusi gol Ben Davis dan Supachok Sarachat. Sebelum itu, mereka ketinggalan menerusi gol Pham Tuan Hai.

Ad

Walau bagaimanapun, impian mereka musnah apabila gol sendiri Pansa Hemviboon dan Nguyen Hai Long memastikan Pahlawan Bintang Emas meraih kemenangan bermakna.

Thailand turut menamatkan perlawanan dengan 10 orang pemain apabila Weerathep Pomphan dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.

Ad

Ishii mengakui terlalu banyak kesilapan mengakibatkan anak buahnya tidak dapat merealisasikan misi meraih gelaran juara ASEAN Championship buat kali kelapan.

Ad

“Kita melakukan terlalu banyak kesilapan pada awal permainan. Kita kena cuba untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan ini lagi,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.

Ad

Meskipun kecewa menamatkan kempen selaku naib juara, Ishii melihat ASEAN Championship 2024 membantunya mengenal pasti lebih ramai pemain baru yang boleh diserap ke skuad senior Thailand.

“Matlamat kita dalam kejohanan ini ialah meraih gelaran juara tetapi satu lagi matlamat ialah melahirkan generasi baru pasukan kebangsaan Thailand,” tambahnya.

“Kita tidak dapat mempertahankan gelaran juara tetapi kita mempunyai ramai pemain baru yang boleh menjadi pilihan buat pasukan Thailand pada masa hadapan.”

Thailand kini mengalihkan fokus kepada aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027. Pasukan itu berada dalam Kumpulan D bersama Sri Lanka, Chinese Taipei dan Turkmenistan.

Gajah Perang bakal membuka aksi pertama kumpulan dengan menentang Sri Lanka pada 25 Mac ini.