Jurulatih Thailand, Masatada Ishii membuat kejutan dengan memanggil bek tengah Ratchaburi, Jonathan Khemdee untuk aksi persahabatan menentang Vietnam dan Russia.
Ini dianggap satu kejutan kerana Khemdee sebelum ini mengumumkan persaraan dari arena bola sepak antarabangsa pada pertengahan tahun 2023.
Bek tengah berusia 22 tahun itu berbuat demikian kerana mahu berehat dan fokus kepada kelabnya, Ratchaburi. Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum aksi penentuan pingat emas Sukan SEA 2023 antara Thailand dan Indonesia.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan pingat emas buat skuad Garuda Muda. Perlawanan ini juga menjadi tumpuan gara-gara insiden pergaduhan yang tercetus antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.
Kini, Ishii memanggilnya untuk menjadi sebahagian dari 23 pemain Gajah Perang bagi menghadapi dua aksi persahabatan berkenaan.
Bila ditanya tentang sebab Khemdee dipanggil, bekas jurulatih Buriram United itu mengakui tidak tahu tentang keputusan persaraan yang dibuat pemain berkenaan.
Sebaliknya, Ishii melihat beliau memiliki potensi peningkatan yang signifikan bersama skuad senior Thailand. Atas sebab itu, jurulatih Jepun itu melihat kehadiran Khemdee dalam skuad kali ini tepat pada masanya.
“Untuk Jonathan Khemdee, saya tak tahu beliau ada mengumumkan persaraan semasa Sukan SEA tetapi saya sudah memantaunya sejak tahun lepas bila beliau bermain untuk Ratchaburi, sebahagian daripada tiga pemain pertahanan.
“Tahun ini, potensinya menunjukkan peningkatan yang signifikan, jadi saya rasa ini masa sesuai untuk memanggilnya menyertai skuad kebangsaan Thailand dengan keupayaannya,” katanya seperti yang disiarkan Changsuek.
Selain Khemdee, Ishii turut mencipta kejutan dengan tidak memanggil empat tonggak senior Thailand. Empat pemain tersebut ialah Theerathon Bunmathan, Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda dan Sarach Yooyen.