Pertahanan Terengganu, Matthew Steenvoorden diperkenal secara rasmi sebagai pemain baharu bagi HNK Gorica.
Bek kacukan Belanda-Indonesia itu menyertai Terengganu pada awal musim ini dari kelab Uzbekistan, Pakhtakor bagi memperkuat benteng skuad Sang Penyu bersama Shahrul Nizam.
Walau bagaimanapun, isu kecederaan lutut yang menimpa Steenvoorden memaksa pemain berusia 31 tahun ini hanya mencatat 4 penampilan bersama Terengganu dalam kempen Liga Super.
Menerusi satu hantaran di platform media sosial HNK Gorica, Steenvoorden telah diperkenalkan secara rasmi sebagai rekrut terbaharu setelah lebih setahun meninggalkan pasukan.
“Setahun dan 3 bulan selepas mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya dan meninggalkan HNK Gorica, Steen yang kami sayangi sekali lagi menjadi sebahagian daripada pasukan,” ujar pihak kelab berkenaan.
Untuk rekod, Steenvoorden pernah menyarung jersi HNK Gorica pada musim 2019 sebelum memilih untuk berkelana ke Uzbekistan bersama Pakhtakor pada 2023 sebelum ke Malaysia setahun kemudian.
HNK Gorica kini menduduki tangga kelapan Croatian Premier League (HNL) setelah mengutip lapan mata dari 9 aksi hasil dua kemenangan, dua keputusan seri dan lima kekalahan.