Salah sebuah media di Asean meramalkan bahawa peluang untuk Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 adalah sekitar 35 peratus.
Harimau Malaya memiliki peluang terakhir untuk mencipta sejarah layak ke pusingan berikutnya namun memilih jalan sukar.
Pasukan bimbingan Kim Pan-gon merekodkan dua kemenangan dan dua kekalahan sekaligus mengumpul 6 mata daripada 4 perlawanan.
Kedudukan ini bagaimanapun masih belum menjamin tempat skuad negara susulan Kyrgyzstan dan Oman mengumpul 9 mata.
Menurut salah sebuah laman Asia Tenggara, Seasia Goal, peluang Malaysia untuk layak ke pusingan berikutnya sekitar 35 peratus.
Sekiranya Malaysia mencatatkan dua kemenangan, semuanya tetap bergantung terhadap keputusan lawan dengan satu kemenangan oleh Kyrgyzstan dan Oman akan memastikan kedudukan tiga pasukan terikat dengan 12 mata.
Perbezaan jaringan akan menjadi penentu untuk melihat dua pasukan yang bakal mara ke pusingan berikutnya.
Sekiranya Malaysia hanya menang satu sahaja perlawanan, Harimau Malaya perlu mengharapkan dua pasukan itu mengalami kekalahan dua kali atau sekurang-kurangnya kalah dan seri sekali.
Laman tersebut juga menganggarkan Indonesia memiliki peluang terbesar untuk layak iaitu sekitar 85 peratus, Thailand dengan 45 peratus sementara Vietnam hanya dengan 15 peratus.
Peluang untuk tiga lagi negara Asia Tenggara iaitu Singapura, Myanmar dan Filipina dilihat amat tipis iaitu sekitar 5 peratus sahaja.
Malaysia bakal menghadapi tentangan pasukan ke-100 dunia, Kyrgyzstan pada 6 Jun 2024 di Bishkek manakala aksi menentang Chinese Taipei pada 11 Jun 2024 jam 9 malam.