Salah sebuah media terkemuka di Asia meramalkan bahawa lagenda Australia, Tim Cahill bakal menjadi watak penting era baharu Harimau Malaya.
Ura-ura mengenai perubahan besar dalam tampuk kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mula menjadi bualan selepas DYAM Tunku Ismail memuat naik hantaran mengenai carta organisasi yang memaparkan beberapa peranan baharu badan induk tersebut.
Hal ini dikuatkan lagi apabila Presiden FAM, Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin sah tidak akan mempertahankan jawatannya menjelang Kongres FAM pada bulan Februari 2025.
Pertemuan terbaru melibatkan Cahill dan DYAM Tunku Ismail menguatkan lagi khabar Pengarah Teknikal Qatar FA itu bakal menjadi satu watak penting untuk membantu bola sepak Malaysia.
Laman The Asian Game memaklumkan bahawa bekas pemain Everton di EPL ini bakal menjadi sebahagian daripada unik khas buat skuad Harimau Malaya.
“Tim Cahill difahamkan akan dilantik ke jawatan penting untuk mengetuai unit khas baharu yang diwujudkan bagi merombak pasukan kebangsaan Malaysia yang diselia oleh pemilik JDT.
“Pengumuman dijangka pada pertengahan Disember,” ujar satu kenyataan di laman X.
Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi berkenaan khabar angin ini sama ada daripada pihak FAM atau individu ini sendiri namun bayangan awal sudah pun ada sejak Mei lalu oleh DYAM Tunku Ismail.
“Era baharu akan tiba,” tulis baginda pada satu hantaran Tim Cahill.