Penyokong China yang berang dengan prestasi pasukan mereka kebelakangan ini memilih untuk tidak membeli tiket aksi persahabatan China-Syria.
Akhbar South China Morning Post melaporkan jualan tiket untuk aksi persahabatan itu pada malam ini tidak laku. Daripada enam jenis tiket yang dijual, hanya tiket yang berharga 180 yuan (RM115) saja yang habis dijual.
Jualan tiket yang kurang memberangsangkan ini dilihat dipengaruhi oleh keputusan seri 1-1 membabitkan China dan Malaysia pada 9 September lalu.
Selepas perlawanan, sudah ada penyokong yang meminta wang tiket mereka dikembalikan. Selain itu, penolong jurulatih Zheng Zhi dilaporkan bertelagah dengan penyokong susulan keputusan ini.
Walaupun menduduki ranking ke-80 dunia, China gagal layak ke dua edisi terakhir Piala Dunia. Kali terakhir mereka layak ialah edisi 2002 di Korea Selatan dan Jepun.
Ini sesuatu yang diharap dapat ditebus oleh skuad China untuk aksi malam ini. Bagi jurulatih Aleksandar Jankovic, kemenangan dilihat tonik terbaik untuk memulihkan hubungan mereka dengan penyokong.
“Selepas menyemak dan menganalisi perlawanan terakhir, kita mulakan persediaan baru. Seluruh pasukan termasuk jurulatih dan pemain sudah bersedia.
“Kita harap dapat membawa kemenangan kepada penyokong. Kita akan berlawan sungguh-sungguh untuk para penyokong,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan atas sebab berbeza. Syria memburu kemenangan kedua di peringkat antarabangsa selepas menewaskan Thailand pada Mac lalu.
Sementara China pula mahu menambah satu lagi kemenangan ke atas wakil Asia Tenggara selepas mengalahkan Myanmar pada Jun lalu.