Media Korea memberi bayangan mengenai pelantikan pengendali baharu Malaysia.
Teka-teki barisan kejurulatihan Harimau Malaya bakal berakhir pada 16 Disember apabila Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan perkara tersebut.
Beberapa nama mula dikaitkan untuk mengemudi kerusi panas tersebut dengan kesemua calon difahamkan memiliki latar belakang bola sepak dan pengalaman luas di Asia.
Salah satu media dari Korea iaitu Asia Football News melaporkan bahawa individu yang dijangka mengemudi era baharu Harimau Malaya ialah bekas pengendali FC Tokyo, Peter Cklamovski.
Jurulatih berusia 46 tahun itu merupakan calon terkuat untuk membantu Malaysia menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 sungguhpun terdapat beberapa nama lain yang berpotensi dilantik.
“Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Klamowski dari Australia bersedia untuk mengambil alih tugas jurulatih baharu pasukan kebangsaan Malaysia,” ujar media tersebut di laman X.
Bukan itu sahaja, pelantikan Ketua Jurulatih Harimau Malaya ini akan disusuli oleh tiga pengumuman lain iaitu pengendali Malaysia B-23, pasukan perubatan dan teknologi untuk membantu pasukan kebangsaan.
“Esok (Isnin) akan diumum berkenaan ketua jurulatih pasukan kebangsaan. Jurulatih skuad B-23, staf perubatan dan teknologi yang akan memberi impak kepada pasukan kebangsaan,” ujar DYAM Tunku Ismail.
Era baharu Harimau Malaya ini juga bakal menyaksikan pelantika Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan juga Pengarah Teknikal skuad kebangsaan berlaku.