Disebalik kejayaan skuad kebangsaan Malaysia meraih kemenangan ke atas Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027, media luar menganggap Malaysia kini sedang melalui realiti perit.
Media Vietnam baru-baru ini membangkitkan realiti pahit yang sedang melanda bola sepak Malaysia, meskipun skuad Harimau Malaya baru sahaja meraih kemenangan besar ke atas Vietnam. Fokus utama kritikan mereka tertumpu kepada ketidaktentuan struktur Liga Malaysia yang masih menjadi persoalan tanpa penyelesaian jelas.
“Kegembiraan Malaysia selepas kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027 tidak bertahan lama apabila mereka terpaksa kembali berdepan dengan situasi yang membimbangkan dalam liga domestik, sekali gus membawa kepada siri masalah yang menyakitkan dan meresahkan.
“Pertama, saingan Kejohanan Kebangsaan Malaysia (Liga M) bagi musim 2025/26 masih belum dapat menetapkan tarikh permulaan. Ini disebabkan beberapa kelab telah menarik diri daripada kejohanan atau menangguhkan pengesahan penyertaan kerana krisis kewangan,” kongsi media Vietnam, Anninhtudo.
Selain isu ketidaktentuan dalam struktur Liga Malaysia, media tersebut turut menyorot satu lagi ‘realiti pahit’ iaitu bagaimana pemain tempatan semakin terpinggir di sebalik gelombang besar naturalisasi mahupun jumlah import yang melanda liga domestik dan skuad kebangsaan.
Fenomena ini dilihat semakin menghakis peranan pemain tempatan dalam membina masa depan bola sepak negara.
“Pemain tempatan Malaysia sedang dipinggirkan di tengah-tengah gelombang besar naturalisasi yang melanda liga domestik dan juga skuad kebangsaan,” coretnya lagi.
Situasi semasa ini jelas membuktikan bahawa segala apa yang berlaku dalam kancah bola sepak Malaysia kini tidak lagi tersembunyi, malah telah mula dihidu dan diperhatikan secara serius oleh media-media luar negara.