Media Vietnam, TheThao247 menganggap kehadiran pemain Harimau Malaya, Endrick Dos Santos ke negara itu adalah sesuatu yang istimewa.
Beberapa hari lalu, Endrick sah menyertai kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC secara pinjaman selama setahun dari kelab handalan Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kehadiran Endrick dianggap istimewa selepas sudah lama kancah Liga Vietnam tidak dihiasi dengan kehadiran pemain dari Asia Tenggara.
“Perpindahan Endrick ke Ho Chi Minh City Club adalah satu tawaran yang istimewa kerana dia akan menjadi satu-satunya pemain Asia Tenggara di luar Vietnam yang bermain dalam Liga Vietnam 2024/2025 dan sudah lama tidak ada pemain Asia Tenggara beraksi dalam Liga Vietnam,” coret TheThao247.
Hasil semakan di laman Transfermarkt, nama Endrick masih belum disenaraikan di dalam barisan pemain Ho Chi Minh City.
Beliau merupakan pemain import pertama Ho Chi Minh City yang ditandatangani bagi saingan Liga Vietnam musim 2024/2025 dengan beberapa pemain import lain masih menjalani ujian pemilihan bersama panel kejurulatihan.
Endrick sudah mengumpul 9 penampilan bersama Harimau Malaya dan beliau merupakan salah seorang anggota skuad kebangsaan yang turut beraksi di Piala Asia AFC 2023 yang berakhir Februari lalu.