Media Vietnam kini mula mengaitkan nama Park Hang-seo sebagai calon Ketua Jurulatih Harimau Malaya.
Hal ini susulan peletakan jawatan rakan senegara, Kim Pan-gon daripada tugasan kebangsaan beberapa hari lalu selepas dua tahun 6 bulan menggalas tugas.
Laporan daripada Bongdaplus melaporkan bahawa Park Hang-seo berpotensi untuk menjadi antara calon paling baik menggantikan Kim Pan-gon bersama Malaysia.
Jurulatih berusia 66 tahun itu tidak memiliki apa-apa jawatan selepas meninggalkan Vietnam pada tahun 2023.
Beliau kini bergelar sebagai penasihat kepada kelab Bac Dinh FC selain turut dikatakan berada dalam radar India dan juga Kemboja.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pernah membuat pendedahan bahawa Hang-seo sanggup meninggalkan Vietnam untuk Malaysia.
“Untuk pengetahuan anda, Park Hang-seo sudah hampir nak datang (ke Malaysia). Dia sudah (nyatakan keinginan) masa temuduga dengan saya, dia sanggup nak pecah kontrak untuk datang.
“Dan dia nak datang dan minat melatih pemain-pemain naturalisasi Malaysia. Malaysia kata dia (merupakan) pasukan berkualiti, ada Corbin (Ong), ada (Mohamadou) Sumareh, kita ada semuanya,” ujar Hamidin kepada Bola itu Life.
Hang-seo juga membimbing Pahlawan Bintang Emas layak ke suku akhir Piala Asia 2019 dan separuh akhir Sukan Asia 2018.
Impak besarnya terhadap bola sepak Vietnam turut diiktiraf kerajaan Korea Selatan di mana beliau dianugerahkan Pingat Heungin.