Semalam, Shin Tae-yong merasa tidak puas hati mengapa pengadil tidak melayangkan kad merah terhadap Doan Van Hau walaupun pemain Vietnam itu dikesan melakukan dua terjahan keras. Rupanya, media Vietnam juga berkongsi sentimen sama dengan jurulatih Indonesia itu.
Satu insiden yang menarik perhatian ialah kekasaran yang dilakukan bek kiri Hanoi FC itu terhadap Dendy Sulistyawan. Sudahlah membuat terjahan dua kaki, selepas itu berlagak mengaduh sakit sehingga mencetuskan kemarahan pemain-pemain Tim Garuda.
Hanya selepas mereka berjaya ditenangkan pengadil dan Tae-yong, barulah situasi tegang akibat terjahan itu berjaya diredakan. Bagaimanapun, Indonesia hanya diberi sepakan percuma dengan Van Hau terlepas daripada dikenakan layangan kad.
Selepas perlawanan, Tae-yong menyifatkan dua terjahan Van Hau sepatutnya melayakkan dia dilayangkan kad merah. Dan ia dipersetujui oleh portal berita Vietnam, Bongda News menerusi laporan mereka yang berbunyi, “Doan Van Hau bernasib baik tidak dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan terhadap pemain Indonesia.”
Walaupun tahu Van Hau patut dikenakan kad merah, jurulatih Vietnam Park Hang-seo terus memberi sokongan kepada anak buahnya. Bagi jurulatih Korea Selatan itu, apa yang dilakukannya tidak salah kerana terjahan merupakan benda normal dalam bola sepak.
“Saya rasa dia bermain dengan bagus dan sudah tentu bola sepak penuh dengan terjahan. Tetapi hari ini, dia mampu mengawal emosi,” katanya.