Pendahulu Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC berazam untuk memberi cabaran kepada naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC.
Hasrat ini dinyatakan presiden kelab itu, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad selepas undian pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25.
Melaka membawa cabaran Liga A1 Semi-Pro bersama KL Rovers FC dan PT Athletic FC (kini PT Antlers FC) untuk saingan Piala Malaysia kali ini. Ini kali kedua Melaka berentap dengan Peteh dalam saingan piala domestik.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah saingan pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2023. Perlawanan tersebut berkesudahan kekalahan 4-0 Melaka di tangan Terengganu.
Meskipun sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi anak buah K. Devan, Nur Azmi percaya Melaka sedia memberi cabaran hebat kepada Terengganu.
“Sudah tentu sebagai pasukan Liga A1, kita menghormati Terengganu kerana mereka berada dalam kelompok empat teratas Liga Super.
“Dan kita pun tidak akan mengaku kalah supaya kita akan beri tentangan hebat kepada Terengganu. Bagi negeri Melaka, ini satu peluang yang terbaik buat pasukan kerana beraksi dalam saingan Piala Malaysia,” katanya dalam program Nindia.
Nur Azmi turut mengesahkan Melaka membawa masuk dua tonggak import baru masing-masing dari Perancis dan Uzbekistan untuk saingan Piala Malaysia.
Dua pemain ini menyertai dua tonggak import Melaka musim ini iaitu Fuseini Issah dan Michael Onyekachi Ozor. Pasukan itu turut mengatur beberapa aksi persahabatan sebelum turun menentang Terengganu.
“Kedua-dua pemain itu sudah sampai petang ini (petang 11 November). Dan pada hari esok dan Sabtu ini, kita akan ada perlawanan AFL di mana kita akan lawan (Manjung City) dan Harini FT.
“Seterusnya, kita akan ada beberapa perlawanan persahabatan yang kita akan buatlah sebelum perlawanan Piala Malaysia itu nanti,” ujarnya.
Aksi pertama pusingan 16 menyaksikan Melaka melayan kunjungan Peteh di Stadium Hang Jebat. Ini disusuli aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).