Legenda Argentina, Lionel Messi tidak berpuas hati dengan mutu padang Stadium Monumental selepas pasukan itu diikat Venezuela 1-1.
Aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan itu menyaksikan La Albiceleste pada awalnya mendahului menerusi bekas bek tengah Manchester City, Nicolas Otamendi.
Walau bagaimanapun, La Vinotinto memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata menerusi rembatan bekas bintang Newcastle United, Salomon Rondon.
Sejak dari awal perlawanan, hujan lebat mengakibatkan padang Stadium Monumental digenangi air. Ini mengakibatkan kedua-dua pasukan bergelut mempamerkan corak permainan masing-masing.
Hal ini turut diakui Messi. Beliau percaya disebabkan keadaan padang yang digenangi air, ia sedikit sebanyak membantu Venezuela mengikat Argentina.
“Ia amat sukar, bola asyik tersekat, ia cukup hodoh. Kita tak boleh lakukan dua hantaran berturut-turut. Pada separuh masa kedua, pada sebelah kanan mungkin lebih baik sedikit tetapi amat sukar bermain di padang sebegini.
“Padang tidak banyak membantu apa yang kita mahu lakukan. Kita terpaksa bermain dalam keadaan padang yang kita tidak bersedia tapi apa yang kita tahu: berjuang untuk dapatkan bola kedua, menang pertarungan (penguasaan bola), manfaatkan kesilapan lawan dan jangan ambil risiko.
“Anda tak boleh bermain dari belakang, pada separuh masa pertama, kita cuba melakukan beberapa hantaran ke belakang tetapi air menghalang pergerakan bola dan itu menyukarkan kita. Kita terpaksa bermain di atas padang sebegini,” katanya kepada TyC Sports.
Ini penampilan pertama Messi bersama Argentina selepas menjulang trofi Copa America pada Julai lalu. Sebelum ini, beliau tidak dapat menyertai pasukan itu pada September lalu kerana mahu fokus kepada pemulihan kecederaan ligamen buku lalinya.
Keputusan ini menyaksikan Argentina kekal menerajui kumpulan Zon Amerika Selatan dengan 19 mata, tiga mata di hadapan Colombia.
Selepas ini, La Albiceleste bakal berdepan Bolivia untuk aksi seterusnya di Stadium El Monumental, Buenos Aires pada pagi 16 Oktober.