Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyemak semula empat hukuman yang dijatuhkan kepada Selangor FC pada 25 Jun lalu.
Awal Mei lalu menyaksikan Selangor menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) atas faktor keselamatan.
Keputusan itu dibuat susulan insiden simbahan asid yang menimpa pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim pada 5 Mei lalu.
Susulan itu, MFL kemudiannya menganugerahkan lawan Selangor, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) trofi Piala Sumbangsih dan kemenangan percuma 3-0.
Dan sebagai hukuman atas apa yang berlaku, MFL bukan saja mengenakan denda sebanyak RM100,000 dan potongan tiga mata kepada Merah Kuning.
Malah, Selangor juga perlu menanggung kos ganti rugi yang ditetapkan MFL dan JDT. Pasukan itu perlu beraksi tanpa penonton di Stadium MBPJ untuk aksi minggu ke-14 membabitkan kedua-dua pasukan.
Walau bagaimanapun, pengumuman tersebut mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak termasuk Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Sultan Sharafuddin menyifatkan hukuman yang ditetapkan MFL sebagai melampau, tidak berperikemanusiaan dan tidak mengambil kira semua faktor yang dinyatakan sebelumnya.
Lantaran itu, MFL kemudiannya mengumumkan beberapa perubahan ke atas hukuman yang dinyatakan selepas mengambil kira maklum balas baginda:
- Denda sebanyak RM100,000 dikurangkan kepada RM60,000.
- Hukuman potongan tiga mata yang dikenakan sebelum ini ditarik balik.
- Kos ganti rugi membabitkan JDT dan MFL dikekalkan. Walau bagaimanapun, segala maklumat akan dikumpul terlebih dahulu sebelum semua pihak membuat semakan dan mengadakan perbincangan.
- Larangan perlawanan tanpa penonton yang dikenakan sebelum ini ditarik balik
Menerusi pengumuman ini, Selangor kembali menduduki tangga kedua liga dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan.
Selepas ini, barisan pemain Merah Kuning yang dibimbing Nidzam Jamil akan terbang ke Sarawak untuk berdepan Kuching City dalam aksi pertama suku akhir Piala FA 2024. Perlawanan itu bakal berlangsung di Stadium Negeri, Kuching pada 29 Jun ini.