Malaysian Football League (MFL) telah menghantar surat kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC berhubung penggantungan empat pemain negara.
Hal ini dinyatakan Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan apabila diminta mengulas penggantungan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero oleh badan pengelola liga itu.
Dato’ Ab Ghani memaklumkan MFL telah menghantar surat kepada JDT dan Kuching City bahawa pemain mereka tidak boleh bermain sebaik CAS membuat keputusan berhubung rayuan tujuh pemain negara.
“Tak ada (dalam perbincangan) sebab kita telah menghantar surat kepada kelab yang terlibat, berkenaan dengan mereka tidak boleh menurunkan pemain yang terlibat dalam liga Malaysia lagi.
“Kita sudah hantar dan benda ini (pekeliling) telah pun dihantar kepada semua kelab dalam Liga Malaysia,” katanya.
Ghani juga enggan mengulas tentang status empat pemain yang dinyatakan. Ini kerana pada hematnya, perkara itu masih bersifat andaian dan patut dirujuk kepada pihak kerajaan.
Susulan penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh CAS, tujuh pemain perlu menjalani baki penggantungan sebelum boleh beraksi semula. Walau bagaimanapun, mereka dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak lain termasuk berlatih.