Malaysian Football League (MFL) mengumumkan mengenai Pindaan Manual Liga Malaysia 2024-2025 melibatkan pendaftaran maksimum 12 Pemain Asing.
Perkara ini telah berjaya mencapai persetujuan bersama majoriti Rakan Kongsi Liga dan telah mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL.
Kuota tambahan ini tidak akan menjejaskan peluang pemain-pemain tempatan untuk beraksi kerana dua pemain asing tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL sahaja.
Bukan itu sahaja, pendaftaran pemain asing dalam senarai pemain dalam Liga Malaysia 2024-2025 masih kekal.
“Berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mengikut Perkara 3 Manual Liga Malaysia 2024- 2025 serta persetujuan bersama pemegang taruh MFL itu, pindaan terbaharu itu menyaksikan kelab-kelab Liga Super yang bertanding dalam Kejohanan Peringkat Kelab Anjuran AFC dan AFF (Johor Darul Ta’zim, Selangor FC, Terengganu FC & Kuala Lumpur City FC) dibenarkan mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini.
Penambahan kuota import ini diharapkan dapat membantu kelab Malaysia yang beraksi dalam pertandingan luar bersaing lebih baik.
“Penambahan kuota pemain asing ini memberi peluang kepada kelab- kelab Liga Malaysia yang layak ke pertandingan AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2) dan AFF Club Championship 2024-2025 bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif,” ujar MFL.
Keputusan ini dibuat susulan tetapan terbaharu AFC yang telah memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had dalam pertandingan kelab anjuran badan induk itu.
Dengan pindaan berkenaan, komposisi pemain dalam kelab-kelab terlibat adalah seramai 34 pemain membabitkan 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing.
MFL bagaimanapun menyatakan bahawa tiada perubahan bagi kelab-kelab yang tidak terlibat dalam Kejohanan Peringkat Kelab Anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).
Setiap pasukan hanya dibenarkan mendaftar maksima 9 pemain asing sahaja seperti peraturan sedia ada.