Pengurusan cemerlang yang dimiliki oleh Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menerima pujian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL.
Perkara ini dinyatakan oleh CEO badan induk tersebut iaitu Giorgio Pompili Rossi ketika satu sesi ramah mesra hari ini.
Beliau mengakui teruja untuk mengemudi MFL dan mahu menganalisis secara terperinci permasalahan utama liga sebelum melakukan tindakan susulan.
Individu yang mesra disapa Jojo ini bagaimanapun menghamburkan pujian kepada skuad Harimau Selatan yang telah pun mengecapi pelbagai kejayaan pada peringkat domestik dan juga Asia.
“JDt telah menjadi juara sejak beberapa tahun di Malaysia. Pasukan mereka juga amat bagus dan secara jujurnya, saya berharap agar mereka (JDT) dapat mara sejauh mungkin dalam kempen AFC Champions League Elite (ACLE).
“Mereka membawa nama Malaysia secara tidak langsung ke luar negara. Jika mereka mara jauh dalam ACLE, ini amat bagus buat pasukan di Malaysia.
JDT juga dilihat sebagai sebuah kelab yang bukan sahaja menunjukkan kejayaan di atas padang bahkan memiliki struktur yang amat baik sebagai sebuah kelab bola sepak profesional di Malaysia.
“JDT bukan sahaja contoh dan panduan yang baik di atas padang tetapi mereka pasukan yang diuruskan dengan baik selain memiliki infrastruktur yang canggih.
“Saya berharap agar pasukan lain di Malaysia dapat meningkatkan kualiti masing-masing untuk bersaing dengan JDT kerana ini bagus untuk meningkatkan mutu Liga Malaysia,” jelas Rossi ketika ditemui di Petaling Jaya, hari ini.
JDT bakal membuka tirai saingan ACLE pada 18 September 2024 menentang kelab China, Shanghai Port di laman lawan.