Perubahan yang mahu dibawa ke Liga Malaysia memerlukan masa.
Perkara ini disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MFL, Giorgio Pompili Rossi atau lebih dikenali sebagai Jojo.
Beliau berbesar hati menyahut cabaran baharu untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan tahap Liga Malaysia terus kompetitif.
“Saya tahu bahawa saya merupakan CEO pertama dari luar negara. Bagi saya itu bukanlah satu masalah. Saya di sini untuk mencabar diri dan memberikan yang terbaik buat Liga Malaysia.
“Namun begitu, perubahan yang mahu dibawa bukanlah perkara magik. Semuanya memerlukan masa untuk kita perbaiki apa yang diperlukan dalam Liga Malaysia.
Rossi juga mahu duduk berbincang dengan pihak MFL dan juga kelab bagi memastikan visi pasukan dan organisasi itu selari.
“Perubahan yang diimpikan tidak akan datang sekelip mata. Kita perlu tetapkan objektif yang jelas dan selepas itu, kita akan melihat apa yang boleh dilakukan.
“Apa yang penting adalah kita perlu duduk berbincang dengan ahli tertinggi MFL, kelab dan juga pemegang taruh untuk mencari titik pertemuan bersama antara semua pihak.
“Dengan ini, kita baru dapat merencanakan pelan dan apa yang terbaik buat Liga Malaysia,” katanya ketika ditemui hari ini.
Rossi memiliki pengalaman luas apabila memulakan kerjayanya pada tahun 2013 dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A.
Beliau kemudian meneruskan tugasnya di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum beliau menyertai LaLiga pada tahun 2017.
Pompili Rossi mula bertapak di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada tahun 2017 sehingga 2021 apabila beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol.
Bukan itu sahaja, beliau juga giat mempromosikan kelab-kelab Sepanyol di kalangan peminat bola sepak di negara ini.
Pompili Rossi melebarkan sayapnya sebagai Delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sehingga kini sebelum dilantik selaku CEO MFL.