Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia beranggapan prestasi Selangor lebih baik menjelang aksi final Malaysia Futsal Cup pada Ahad.
Skuad Harimau Selatan mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut setelah tidak berdepan masalah menewaskan KL City dalam perlawanan separuh akhir dengan agregat 9-2 minggu lalu.
Sementara, Selangor pula berjaya mengatasi cabaran hebat dari juara bertahan, Pahang Rangers yang memberi saingan sengit buat skuad Gergasi Merah namun akur terlepas tiket ke final.
Menurut Miguel Garcia, tiada istilah bermain-main setiap kali JDT turun beraksi di pentas final dan menghormati pihak lawan yang pamer persembahan cemerlang baru-baru ini.
”Kami amat gembira dapat layak ke final kali ini, seperti saya katakan sebelum ini, perlawanan akhir bukan untuk bermain-main tetapi untuk menang,” kata Miguel menurut Harimau Malaya.
”Saya yakin dengan kemampuan skuad saya untuk aksi kali ini, tetapi (tetap) menghormati Selangor yang telah pamer prestasi cemerlang dalam pusingan kedua liga dan lawan yang hebat.”
Tambah beliau, meskipun JDT kini berada dalam momentum terbaik setelah muncul juara Malaysia Premier Futsal League namun prestasi The Red Giants belakangan ini tidak boleh dipandang mudah.
”Untuk aksi esok (Ahad), ya JDT datang dengan momentum terbaik tetapi saya rasa Selangor berada dalam prestasi lebih baik pada musim ini,” komen Miguel kepada pihak media.
”Mereka (Selangor) pasukan yang bagus dengan pemain lokal yang hebat seperti penjaga gol (Syawal Sabaruddin), pemain nombor 10 (Syed Aizad) dan nombor 24 (Syahir Iqbal).”
Perlawanan akhir MFC di Axiata Arena pada 6 Oktober ini bakal menjanjikan aksi sengit antara JDT dan Selangor dengan sepak mula jam 5.30 petang