Skuad futsal Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) membawa bekalan selesa untuk aksi separuh akhir kedua Malaysia Futsal Cup 2024 apabila membelasah KL City FC 4-0.
Kedua-dua pasukan mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing di suku akhir. JDT mengatasi cabaran Sabah dengan KL City pula menundukkan Shah Alam City.
Bruno Taffy dan Caio Garcia mengetuai cabaran JDT. Manakala Hussain Kadhemi dan Kazuhide Hirose pula mengetuai cabaran KL City.
JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi tonggak skuad kebangsaan, Awalluddin Mat Nawi pada minit kelima.
Tersentak, KL City cuba bangkit mendapatkan jaringan penyamaan. Malangnya, gawang mereka yang dikawal Zunnurain Nor Sham bocor lagi buat kali kedua menerusi jaringan Taffy pada minit ke-11.
Pasukan Lembah Klang itu semakin tertekan apabila Ridzwan Bakri meledakkan gol ketiga pada minit ke-14 buat Harimau Selatan.
KL City hampir merapatkan jurang menerusi Zulfathi Zubir pada minit ke-17 tetapi dinafikan Azrul Hadee Mohd Taufiq. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, JDT terus meningkatkan tekanan ke arah kubu pertahanan KL City untuk memburu gol keempat.
Ini memaksa Zunnurain berusaha menyekat setiap percubaan yang direncana anak buah Juan Antonio Miguel Garcia itu.
Gol yang dicari-cari Harimau Selatan akhirnya muncul pada minit ke-32. Abu Haniffa Hasan melakukan tolakan mudah yang menewaskan Zunnurain untuk gol keempat pasukan itu.
Adham Yusri hampir menjaringkan gol pertama buat KL City. Malangnya, rembatan derasnya terus dinafikan Azrul Hadee.
JDT terus meningkatkan asakan untuk memburu gol tambahan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Harimau Selatan dijangka memanfaatkan bekalan selesa mereka untuk aksi separuh akhir kedua Malaysia Futsal Cup 2024 di Pasir Gudang pada 28 September ini.