Kelab Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke separuh akhir Malaysia Futsal Cup (MFC) setelah menyingkirkan Sabah pada Sabtu.
Setelah mencatat kemenangan dalam aksi pertama, JDT turun ke laman sendiri bagi berdepan cabaran Sabah yang mahu melakar kejutan di Pasir Gudang.
JDT menyenaraikan barisan terbaik yang dimiliki diketuai Azrul Hadee manakala Lucas Nakazato diberi peranan oleh jurulatih Sabah, Patt Sriwijit bagi merobek gawang Harimau Selatan.
Tuan rumah terlebih dahulu memimpin permainan menerusi rembatan Awalluddin Mat Nawi sebelum Firdaus Ambiah menggandakan kelebihan 2-0 buat JDT tidak lama selepas itu.
Tidak mudah mengalah, Sabah terus mengorak langkah bagi memburu jaringan dan hasilnya Vitor Silva berjaya menempa nama sebagai penjaring buat pelawat sebelum kedua-dua pasukan berehat.
Separuh masa pertama tamat, JDT 2-1 Sabah.
Babak kedua bersambung, Sabah berjaya menyamakan skor 2-2 setelah Raziq memanfaatkan kesilapan pertahanan JDT untuk menghidupkan kembali peluang untuk pasukan dari Borneo itu.
JDT terus mengganas dengan empat lagi tambahan gol hasil penyudah Awalluddin Mat Nawi, Bruno Taffy dan dua jaringan Ridzwan Bakri untuk menutup aksi dengan kemenangan.
Aksi di Stadium Tertutup Pasir Gudang berakhir dengan keputusan 6-2 buat JDT, sekaligus mara dengan agregat 11-5.
Di separuh akhir nanti, JDT bakal berdepan pemenang di antara Shah Alam City atau KL City yang akan bertemu dalam satu lagi aksi suku akhir pada Ahad.