Hasrat besar pemain sayap sensasi Jordan, Mousa Al-Tamari untuk merealisasikan impiannya menjulang Piala Asia 2023 hampir tertunai.
Angan-angan yang dibawa oleh pemain berusia 26 tahun itu bermula sejak awal kejohanan tatkala beliau mahu membantu negaranya untuk mara ke final dan mencipta sejarah.
Kemenangan ke atas Korea Selatan mengubah hasratnya itu dan hampir menjadi realiti sementara kapten pasukan Korea Selatan, Son Heung-min meminta maaf atas kegagalan pasukannya.
Menurut Mousa, beliau berasa cukup bangga untuk membawa nama Jordan ke tahap tertinggi di Asia pada edisi kali ini.
“Saya bermimpi untuk memenangi Piala Asia bulan lalu, dan mimpi itu hampir menjadi realiti. Ini detik yang membanggakan buat saya, negara dan juga kelab saya.”
“Sokongan daripada penyokong Jordan amat luar biasa,” ujarnya menurut laman AFC Asian Cup.
Namun begitu, hasrat sama tidak berjaya direalisasikan oleh kapten Taeguk Warriors selepas tersingkir pada peringkat separuh akhir.
“Saya mahu meminta maaf kepada penyokong kami. Kami sudah melakukan yang terbaik namun kesilapan telah menghukum pasukan. Saya meminta maaf kerana kami tidak dapat memenuhi jangkaan yang diberikan.”
“Sebagai pemain, saya akan cuba memastikan tahap pasukan kebangsaan akan bertambah baik selepas ini.”
Aksi final antara Jordan dan Qatar akan berlangsung pada 10 Februari 2024 jam 11 malam di Stadium Lusail.