Misteri kehilangan penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville akhirnya terjawab selepas kali terakhir dilihat pada perlawanan akhir Piala FA berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) bulan lalu.
Nama Somerville telah mendapat perhatian ramai apabila gagal memberikan persembahan yang meyakinkan pada aksi final Piala FA dengan melepaskan gol-gol mudah.
Dengan persembahan yang kurang baik daripada Somerville, pengendali Selangor, Nidzam Jamil telah mengeluarkan Somerville lebih awal pada aksi final tersebut dan digantikan dengan penjaga gol muda, Azim Al-Amin.
Selepas kejadian tersebut, kelibat Somerville hanya kelihatan di dalam sesi latihan bersama pasukan utama Selangor dan tidak disenaraikan dalam perlawanan bertemu Kuching City FC pada 13 September lalu.
Kini, segalanya telah terjawab selepas Somerville dikesan beraksi bersama pasukan berbeza iaitu Selangor II dalam saingan Piala MFL baru-baru ini menentang PDRM FC.
Dalam perlawanan tersebut, Somerville telah menjadi penjaga gol utama Selangor II dan membantu pasukannya mencipta kemenangan 2-0 ke atas PDRM.
Somerville pasti perlu bekerja dengan lebih keras untuk merebut kembali posisi penjaga gol utama pasukan Selangor lebih-lebih lagi pasukan itu baru sahaja membawa masuk penjaga gol Harimau Malaya, Kalamullah Al-Hafiz.