Selangor FC memperkuat bahagian penjaga gol mereka dengan merekrut penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Perpindahan ini diumumkan pengurusan Merah Kuning menerusi satu hantaran di media sosial rasmi pasukan itu.
“Skuad Gergasi Merah berbesar hati mengumumkan penjaga gol baharu, Kalamullah Al-Hafiz yang berusia 29 tahun untuk mengharungi baki musim 2024/25 bersama Selangor FC
“Lebih mesra dengan panggilan Kalam, tiga tahun beraksi sebagai pemain pembangunan Felda United, beliau berjaya menembusi skuad utama pasukan tersebut dan beraksi dalam satu perlawanan. Nama beliau terus dikenali ramai bersama skuad PJ City FC sejak 2019,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kalamullah dijangka bersaing dengan Samuel Somerville, Khairulazhan Khalid dan Azim Al Amin Kamaruddin untuk slot penjaga gol utama.
Sebaik melengkapkan perpindahan tersebut, Kalamullah berikrar untuk cuba menyesuaikan diri secepat mungkin untuk membantu Selangor lebih cemerlang.
“Selangor adalah antara nama kelab yang besar dalam liga Malaysia terutama sekali semasa zaman arwah Mokhtar Dahari, Shukor Adan dan ramai lagi pemain-pemain lain yang pernah bermain dalam kelab ini,”
“Suasana di sini agak berbeza bagi saya tetapi bukan satu alasan untuk saya sesuaikan diri dengan pemain-pemain lain. Harapan saya pula adalah untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi dan mencapai banyak kejayaan bersama pasukan ini,” katanya.
Sebelum ini, pengurusan Kedah memaklumkan bahawa penjaga gol berusia 29 tahun itu meninggalkan pasukan itu secara persetujuan bersama.
Ini membuka ruang buat bekas penjaga gol PJ City FC itu untuk meneruskan kariernya bersama Selangor dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M).
Sejak menyertai Sang Kenari dari PJ City FC pada akhir tahun 2022, Kalamullah telah merekodkan 36 perlawanan dan 14 rekod tanpa bolos dalam semua kejohanan. Ini termasuk lima perlawanan tanpa bolos untuk musim 2024/25.
Beliau turut membantu Kedah mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2024 sebelum disingkirkan juara, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).