Moto3: Hakim Danish Terlepas Podium Di Belanda
UltraSukan
ZK Racing

Jaguh muda Malaysia, Hakim Danish Ramli kempunan meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Moto3 apabila sekadar meraih tempat ke-10 Grand Prix (GP) Belanda di TT Circuit Assen.

Selepas bergelar juara di GP Czechia baru-baru ini, pelumba berusia 18 tahun itu berharap dapat meneruskan rentak cemerlang di Assen.

Meskipun begitu, Hakim Danish bermula di barisan belakang apabila menduduki tempat ke-16 dalam pusingan kelayakan. Pelumba Sepanyol, Max Quiles yang mewakili CFMoto Gaviota Aspar Team meraih petak utama.

Quiles diapit Joel Kelso, rakan senegara Brian Uriarte dan pelumba Argentina, Marco Morelli di petak hadapan.

Walaupun bermula di tempat ke-16, itu tidak menghalang Hakim Danish memperbaiki kedudukan sebaik perlumbaan bermula.

Kesungguhan beliau menyaksikan pada satu ketika, Hakim Danish menduduki tempat ketiga di belakang Quiles dan seorang lagi pelumba Sepanyol, David Almansa.

Meskipun begitu, beliau tidak dapat mengejar kedua-dua pelumba itu sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-10. Quiles muncul juara dengan Almansa dan Morelli di tempat kedua dan ketiga.

Hakim kemudiannya mendapat tempat ketujuh untuk klasifikasi akhir perlumbaan. Ini disebabkan beberapa pelumba dikenakan penalti kerana melanggar had litar.

Saingan Moto3 akan diteruskan dalam GP Jerman di Litar Sachsenring, Jerman dari 10 hingga 12 Julai ini.