JDT meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) apabila bangkit dari ketinggalan untuk membelasah KL City pada Ahad.
Selepas berjaya mencatatkan kemenangan bergaya ke atas seteru utama, Pahang Rangers minggu lalu, JDT berkunjung ke ibu kota untuk berdepan KL City yang merupakan pasukan tercorot liga.
Skuad Harimau Selatan membariskan pemain-pemain terbaik yang dimiliki diketuai oleh Azrul Hadee, yang menggantikan Aiman Fiqry di posisi penjaga gawang sambil dua import, Helio Neto dan Caio turut tersenarai.
Perlawanan bermula baik dengan serangan bertali arus di antara kedua-dua pasukan meskipun permainan jelas dikuasai oleh para pemain JDT.
Walau bagaimanapun, KL City terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Syed Khidir Shaab untuk meletakkan tuan rumah 1-0 di hadapan pada minit ke-15.
Ketika permainan menuju rehat, JDT akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Caio Cesar untuk mengikat keputusan 1-1 sehingga separuh masa pertama tamat.
Kembali dari rehat, anak didik Juan Miguel tampil lebih bertenaga untuk mengasak kubu gol KL City dan berhasil mendahului menerusi jaringan kedua Azri Rahman seminit selepas babak kedua bermula.
Caio Cesar terus menambah luka KL City apabila pemain kelahiran Brazil itu meledak gol kedua peribadi yang juga jaringan ketiga buat skuad Harimau Selatan pada minit ke-29.
Malam indah pasukan JDT dilengkapkan dengan gol keempat hasil jaringan Abu Haniffa lima minit sebelum tamat permainan.
Aksi di Ortuseight Arena tamat, KL City 1-4 JDT.
Kemenangan ini memastikan kedudukan JDT di persada liga terus kukuh dengan 21 mata setelah meraih mata maksimum daripada tujuh perlawanan manakala KL City terus terperosok di dasar liga tanpa sebarang mata.