Pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) bermaharajalela untuk menewaskan Pahang Rangers bagi aksi MPFL hari ini.
Skuad kendalian Juan Antonio Miguel memulakan aksi dengan begitu cemerlang untuk mengawal permainan dengan 60 peratus pada babak pertama.
Gol pembukaan berjaya disudahkan oleh Danial Dain dan juga Awaluddin Mat Nawi sebelum Filipe De Souza merapatkan kedudukan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-1 sungguhpun kedua-dua pasukan rancak mengatur serangan.
Bersambung babak kedua, kecuaian pertahanan Pahang Rangers membawa padah apabila Awaluddin sekali lagi berjaya merobek gawang bekas pasukannya menerusi satu kuisan mudah.
Pahang Rangers tidak mengalah dan berjaya merapatkan jurang apabila situasi kelam-kabut berjaya dimanfaatkan sebelum Harith Naim meledak gol kedua.
Beberapa peluang gagal dimanfaatkan oleh kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan.
Bintang futsal JDT, Ridzuan Bakri bijak memanfaatkan peluang terbuka untuk gol ke-4 Harimau Selatan di Pasir Gudang.
Pasukan pelawat mencemaskan JDT apabila meledak gol ketiga sekaligus merapatkan kedudukan berbaki dua minit permainan.
JDT melebarkan sayap dengan kemenangan ke-6 dan mengumpul 18 mata sementara Pahang Rangers di tangga kedua dengan 13 mata.