JDT melebarkan rekod kemenangan dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2024 setelah dipaksa bekerja keras untuk menumpaskan Shah Alam City di Pasir Gudang pada Ahad.
Masih segar dengan kejayaan menewaskan Terengganu 7-1 Rabu lalu, skuad Harimau Selatan turun berdepan Shah Alam City dengan misi untuk menjarakkan mata dengan pesaing terdekat iaitu Pahang Rangers yang kini berada di tangga kedua.
Miguel Garcia selaku pengendali JDT menampilkan barisan terbaiknya dengan Aiman Fiqry kembali di posisi penjaga gol sementara Shah Alam City pula mempertaruh import, Kelwin Soares dan Isaias Figueiredo di barisan hadapan.
Penguasaan bola jelas dikuasai oleh pasukan tuan rumah dengan dua percubaan awal daripada Awalluddin Mat Nawi dan import baharu JDT, Bruno Taffy sedikit tersasar di sisi pintu gol lawan.
Walau bagaimanapun, Shah Alam City terlebih dahulu di hadapan menerusi kapten pasukan, Farhan Anuar yang melepaskan voli deras setelah kedudukannya tidak dikawal oleh barisan pertahanan JDT.
Kealpaan benteng pertahanan JDT dihukum oleh barisan pemain Shah Alam City setelah rembatan kencang Zainal Abidin terus menerjah gawang tuan rumah sebelum Isaias Figueredo meletakkan pelawat selesa mendahului 0-3.
Respon pantas dan postif dari pasukan tuan rumah berjaya menghidupkan kembali peluang buat JDT untuk bangkit setelah dua gol daripada Firdaus Ambiah dan Bruno Taffy merapatkan skor buat seketika.
Sebelum memasuki bilik persalinan, Firdaus Ambiah sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring untuk menyamakan kedudukan 3-3 bagi Harimau Selatan mengikat Shah Alam City di babak pertama.
Separuh masa pertama tamat, JDT 3-3 Shah Alam City.
Kembali dari rehat, JDT tidak menunggu masa yang lama untuk menyumbat gol keempat hasil percubaan susulan dari Ridzwan Bakri setelah rembatan Abu Haniffa sebelum itu singgah di palang gol.
Percaturan jurulatih Shah Alam City, Muizzudin Haris yang menerapkan corak serangan balas pantas beberapa kali menggusarkan barisan belakang JDT hasil larian kencang dari Razin Rahim dan dua tonggak import pasukan.
Tonggak kebangsaan, Abu Haniffa memastikan naib juara MPFL 2023 itu mendahului dengan kelebihan 2 gol setelah menampan hantaran dari Caio Cesar untuk menceriakan penyokong tuan rumah yang hadir ke venue.
Taktikan power play yang digunakan oleh Shah Alam City membuahkan hasil apabila Aliff Roslan dan Kelwin Soares kembali mengikat kedudukan di penghujung permainan untuk skor terikat semula 5-5.
Bruno Taffy muncul wira tuan rumah dengan gol keenam buat JDT di saat-saat akhir membuatkan Shah Alam City terpaksa pulang kecewa tanpa sebarang mata.
Aksi di Stadium Tertutup Pasir Gudang berakhir dengan keputusan 6-5 memihak JDT.
Keputusan ini meletakkan Harimau Selatan terus gah di puncak liga dengan 27 mata maksimum daripada sembilan perlawanan manakala Shah Alam City pula jatuh ke tempat keempat liga dengan 16 mata.
Jadual MPFL selepas ini menyaksikan JDT akan bertemu Selangor di KSN Panasonic manakala Shah Alam City akan menerima kunjungan pasukan kedua tercorot, Terengganu.