Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Sabah dalam aksi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) pada Ahad.
Setelah mengalami kekalahan pertama di tangan Selangor, JDT pastinya mahu menjadikan aksi kali ini untuk menebus duka minggu lalu sementara Sabah berada di tahap yang baik setelah membelasah KL City 6-1.
JDT turun tanpa penjaga gawang utama, Aiman Fiqry yang digantung satu perlawanan manakala Sabah menampilkan gandingan import, Lucas Nakazato dan Vitor Manoel untuk memburu jaringan buat pasukan.
Tonggak JDT, Awalluddin Mat Nawi meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit kedua sebelum Wan Raziq menyamakan kedudukan 1-1 buat Sabah selang dua minit kemudian.
Tiga gol berjaya diledak JDT selepas itu masing-masing menerusi Abu Haniffa, Saad Abdul Sani dan Ridzwan Bakri bagi memastikan pelawat memasuki bilik persalinan dengan kelebihan selesa.
Separuh masa pertama tamat, Sabah 1-4 JDT.
Kembali dari rehat, Sabah cuba bangkit mengejar skor dengan beberapa gerakan menarik diatur namun benteng pertahanan JDT kekal utuh bertahan.
Ketika Sabah rancak mengatur serang, JDT mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol kelima menerusi Abu Haniffa sekali lagi pada minit ke-32 bagi menjarakkan skor kepada 5-1 buat Harimau Selatan.
Dua gol pantas berjaya diraih pelawat hasil penyudah Caio Cesar serta tonggak kebangsaan, Ridzwan Bakri dalam tempoh seminit seakan mematikan semangat Sabah untuk bangkit.
Malang buat Sabah apabila Lucas Nakazato dilayangkan kad merah dan peluang ini digunakan sebaiknya Bruno Taffy dan Saad Abdul Sani untuk menambah dua lagi gol buat JDT.
Beberapa saat sebelum permainan ditamatkan, Hikmal memberikan Sabah gol kedua namun jaringan tersebut tidak berjaya menafikan tiga mata milik JDT.
Aksi di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam berakhir dengan kemenangan 9-2 memihak JDT.
Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan JDT di persada liga dengan 30 mata, enam mata di hadapan pencabar, Selangor yang berada tangga kedua manakala Sabah kekal di tempat ke-5.
Saingan MPFL seterusnya bakal menyaksikan pertemuan epik di antara JDT dan juara bertahan, Pahang Rangers di Kuantan sementara Sabah akan melayani Terengganu di laman sendiri.