Selangor mempamerkan persembahan menakjubkan di saat akhir bagi menghalang JDT pulang dengan mata dalam aksi saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) pada Ahad.
JDT hadir ke Shah Alam dengan membawa momentum positif setelah merakamkan kemenangan bersih dalam kesemua sembilan perlawanan, begitu juga dengan The Red Giants yang kini sedang mendaki carta liga.
Kedua-dua pasukan menampilkan barisan pemain terbaik berbekalkan misi memungut tiga mata dengan Selangor ditunjangi pemain muda, Syahir Iqbal manakala Aiman Fiqry diberi peranan penjaga gol JDT.
Perlawanan berlangsung sengit dengan JDT lebih banyak mengasak kubu tuan rumah melalui percubaan Caio Cesar dan Ridzwan Bakri yang hampir memberi kelebihan awal buat Harimau Selatan.
Selangor berpeluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-6 namun rembatan kencang Wellington Pereira mengenai muka Aiman Fiqry untuk tendangan penjuru diberikan oleh pengadil.
Ketangkasan penjaga gawang Selangor, Syawal Sabarudin menyelamatkan beberapa siri percubaan pelawat berjaya memastikan pintu gol Gergasi Merah terus kebal sehingga memasuki bilik persalinan.
Separuh masa pertama, Selangor 0-0 JDT.
Kembali ke babak kedua, Selangor tampil lebih bertenaga dan hampir-hampir memecah kebuntuan menerusi Syahir Iqbal namun malang apabila percubaan satu lawan satunya tidak berjaya disempurnakan.
Jaringan yang dicari akhirnya menjelma menerusi tonggak import baharu, Bruno Taffy pada minit ke-34 setelah menyudahkan sepakan penalti untuk meletakkan JDT di hadapan.
Situasi panas seketika apabila pembantu jurulatih Selangor dilayangkan kad merah selain penjaga gawang JDT, Aiman Fiqry juga diarahkan keluar gelanggang kerana mengasari Wellington Pereira.
Wellington diberi tanggungjawab untuk menyudahkan sepakan penalti itu namun tendangannya diselamatkan penjaga gol gantian, Azrul Hadee untuk kedudukan kekal 0-1.
Ketika aksi berbaki seminit, Gabriel Rossa hadir dengan gol penyamaan buat Selangor untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum Syahir Iqbal muncul wira dengan gol kemenangan di saat akhir untuk menceriakan penyokong Merah Kuning.
Aksi di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam berakhir dengan kemenangan tipis buat Selangor dengan keputusan 2-1.
Perlawanan MPFL seterusnya menyaksikan Selangor bakal bertandang ke Pantai Timur untuk berdepan cabaran dari Terengganu pada 20 Julai sementara JDT akan menguji kekuatan Sabah di tempat lawan.