MPFL: JDT Kekalkan Rekod Kemenangan, Tundukkan Sabah
UltraSukan
JDT Futsal
Sponsors

Skuad futsal Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024/25 dengan menewaskan Sabah.

JDT berharap dapat melebarkan rekod kemenangan dalam Divisyen 1 MPFL selepas menewaskan Selangor FC 4-2 dalam aksi terakhir mereka pada 16 Mac lalu.

Ad

Sementara Sabah ingin melakar kemenangan ketiga selepas menewaskan KL City 6-5 dalam perlawanan terakhir mereka pada 17 Mac lepas.

Ad

Babak pertama menyaksikan JDT melancarkan serangan menerusi dua tenaga import, Helio Neto dan Caio Cesar Garcia.

Malangnya, gawang Sabah yang dikawal Mohammad Faezwan Ashwandie Ahmad kerap menggagalkan percubaan JDT.

Ad

JDT kemudiannya menceriakan penyokong di Stadium Tertutup Pasir Gudang dengan gol pertama yang disumbang Muhammad Saad Abdul Sani pada minit kelapan.

Ad

Tersentak, Sabah yang dibimbing Patt Sriwijit berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Selepas rehat, JDT meneruskan usaha menggandakan kelebihan gol mereka. Malangnya, Faezwan terus menjadi penghalang buat barisan anak buah Juan Antonio Miguel Garcia.

Keadaan ini mendorong Miguel Garcia memasukkan bekas kapten Selangor TOT United, Yazid Kamaruzuan untuk menambah bisa di bahagian serangan.

Percaturan jurulatih Sepanyol itu membuahkan hasil apabila Yazid mudah menolak bola melepasi Faezwan pada minit ke-29 untuk gol kedua Harimau Selatan.

JDT terus melancarkan serangan ke atas gawang Sabah tetapi Faezwan memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan JDT kembali memintas Pahang Rangers sebagai pendahulu Divisyen 1 dengan 15 mata. Kedua-dua pasukan bakal bertemu untuk aksi divisyen seterusnya pada 25 Mei ini.

Sementara Sabah pula akan turun menentang Terengganu untuk aksi divisyen seterusnya pada hari sama.