Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2024 setelah menewaskan Selangor di Pasir Gudang.
JDT turun dengan misi memburu kemenangan keempat liga manakala Selangor yang dibimbing Edgar Baldasso mahu meneruskan momentum setelah mencapai kemenangan pertama minggu lalu.
Namun, Harimau Selatan dikejutkan dengan jaringan pelawat menerusi Khairul Effendy yang bijak meloloskan diri sebelum menyambar hantaran Wellington Pereira seawal minit keempat.
Seakan tersentak, jentera serangan JDT terus melancarkan percubaan bertali arus ke arah kubu Selangor yang dikawal, Syawal Sabaruddin bagi menjadikan keputusan kembali seimbang.
Usaha tuan rumah mencari jaringan penyamaan akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan kencang Abu Haniffa gagal diselamatkan penjaga Selangor
Separuh masa tamat, JDT 1-1 Selangor.
Kembali dari rehat, permainan kembali sengit dengan kedua-dua pasukan tampil agresif menyerang pintu gol lawan masing-masing.
Aksi cemerlang benteng pertahanan The Red Giants menyekat setiap asakan JDT berjaya menafikan percubaan tuan rumah sekaligus mengecewakan para peminat yang hadir.
Kekebalan itu tidak bertahan lama apabila dua gol pantas daripada Caio Cesar pada minit ke-32 dan Helio Neto seminit kemudian meletakkan naib juara MPFL musim lalu itu selesa mendahului 3-1.
Pemain muda, Syahir Iqbal Khan berjaya merapatkan kedudukan dengan gol kedua pasukan Selangor hasil tampanan kemas dari hantaran lintang rakan sepasukan lima minit sebelum permainan tamat.
Ketika Selangor rancak memburu jaringan penyamaan, Saad Abdul Sani meledak gol keempat JDT pada minit ke-39 sekaligus mengesahkan tiga mata buat pasukan tuan rumah.
Tamat aksi di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, JDT 4-2 Selangor.
Liga akan berhenti seketika bagi memberi laluan kepada skuad futsal kebangsaan yang akan menyertai kejohanan jemputan di Thailand bermula 21 Mac hadapan.
Aksi liga akan kembali bersambung pada 20 April menyaksikan JDT akan bertandang ke KSN Panasonic bagi menghadapi Sabah manakala Selangor pula akan menentang wakil Pantai Timur, Terengganu.