Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) kepada enam perlawanan dengan menewaskan Pahang Rangers FC.
Kedua-dua pasukan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas masing-masing dikecewakan pendahulu liga, Selangor FC. JDT mahu melebarkan rekod kepada enam kemenangan dengan Pahang Rangers (tiga kemenangan).
Felipe de Almeida Souza terus menjadi sandaran gol Pahang Rangers. Andresito dan Bruno Taffy menjadi sandaran gol JDT.
JDT mendahului pada separuh masa pertama menerusi Mahadir Harahap. Gol tersebut merupakan gol ke-12 beliau dalam saingan MPFL musim ini.
Beberapa saat sebelum babak pertama berakhir, Pahang Rangers bernasib malang apabila penjaga gol, Afiq Abdul Rahman dilayangkan kad merah oleh pengadil. Keputusan itu dibuat selepas Afiq dikesan menampan bola di luar kawasan penalti.
Keputusan kad merah itu menyaksikan JDT mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Hal ini menyebabkan Pahang Rangers terpaksa beraksi selama dua minit dengan empat orang pemain di atas gelanggang. Peluang tersebut dimanfaatkan JDT untuk menggandakan kelebihan jaringan.
Mahadir sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Pahang Rangers dengan meledakkan gol kedua perlawanan. Taffy menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga buat Harimau Selatan.
Bukhairi Samsudin menambah gol keempat dengan tolakan mudah selepas menerima hantaran di Taffy. Harith Naim Nasir menguangkan defisit gol dengan menyumbat dua gol.
Pahang Rangers membuatkan JDT cemas apabila menyumbat gol ketiga menerusi Razin Rahim. JDT mengembalikan kelebihan satu gol menerusi gol kedua Taffy.
Sirhan Aiman Saipubahrim menyumbat gol keempat Pahang Rangers pada minit akhir permainan. Walau bagaimanapun, gol tersebut sudah terlewat untuk menghalang JDT meraikan kemenangan pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan JDT kini mengumpul 31 mata, lapan mata di belakang pendahulu liga, Selangor. Pahang Rangers pula kekal di tangga ketiga dengan 28 mata.
Selepas ini, JDT akan menentang Selangor dalam aksi seterusnya pada 5 September. Pahang Rangers pula akan menentang USM FC pada hari yang sama.