MPFL: JDT Pesta Gol Tewaskan Kedah
UltraSukan
Kedah FA

Johor Darul Ta’zim (JDT) makin sukar digugat di persada Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) apabila menewaskan Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim.

Kedah berharap dapat menamatkan rekod kebal JDT dalam Divisyen 1 setakat ini. JDT pula mahu melebarkan kelebihan mata dengan pasukan di tempat kedua, Pahang Rangers.

Kedah menurunkan tonggak import terbaru mereka dari Jepun, Takeshi Higuchi. Bruno Taffy dan Caio Cesar terus menjadi sandaran gol Harimau Selatan.

Awalluddin Mat Nawi membuka tirai jaringan seawal minit pertama. Taffy menggandakan kelebihan JDT seminit selepas itu.

Gawang Kedah yang dikawal Haziq Farhan Ridzuan bocor lagi tiga minit selepas itu menerusi Awalluddin. Beliau kemudiannya mencipta hatrik pada minit ke-10.

Harimau Selatan terus meningkatkan tekanan ke atas Kedah tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kedah berusaha mengurangkan defisit gol mereka dengan pelawat.

Hasilnya, tonggak import Thailand, Nattawat Luksanato merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-29.

Sebarang harapan Kedah untuk bangkit musnah apabila Firdaus Ambiah menyumbat gol kelima tiga minit selepas itu. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan JDT terus mendahului liga dengan 30 mata, sembilan mata di hadapan Pahang Rangers. Kedah kekal di tangga ketujuh dengan empat mata.

Selepas ini, Harimau Selatan dan Pahang Rangers akan berentap pada 14 Jun. Kedah pula akan menentang KL City pada hari sama.