Kelab Thailand, Muangthong United bakal menjanjikan cabaran hebat bila bertemu Selangor FC dalam aksi pertama Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Muangthong menjadi wakil ketiga Thailand dalam saingan ACL2 selepas Port FC dan Bangkok United. Pasukan itu terpilih disebabkan tindakan kelab Vietnam, Thanh Hoa menarik diri daripada kejohanan.
Selain Selangor dalam Kumpulan H, Muangthong bakal berdepan cabaran wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors dan kelab Filipina, Dynamic Herb Cebu.
Kelab yang diberi jolokan The Kirins itu turun dengan rekod menarik dalam Thai League 1. Selepas tewas mengejut kepada Nakhon Ratchasima pada 11 Ogos lalu, pasukan itu kekal tanpa kalah dalam lima perlawanan.
Ini termasuk kemenangan 4-2 ke atas Sukhotai pada 15 September lalu. Dua gol Sorawit Panthong, Kakana Khamyok dan Felicio Brown memastikan kemenangan milik anak buah Gino Lettieri.
Disebabkan rekod sama, Muangthong kini menduduki tangga ketiga liga dengan 11 mata. Pasukan itu turut menjaringkan sembilan gol dan hanya dibolosi lima kali dalam liga.
Meskipun begitu, rekod jaringan The Kirins sedikit membimbangkan. Ini kerana pasukan itu memiliki jaringan paling sedikit dalam kalangan enam pasukan teratas liga.
Buriram merekodkan jaringan tertinggi iaitu 19 gol. Ini diikuti oleh Port (16 gol), Bangkok United (11 gol), PT Prachuap dan BG Pathum United (10 gol).
Ini ditambah dengan penjaring terbanyak pasukan itu iaitu Poramet Arjvirai hanya menyumbat dua gol dalam liga setakat ini.
Meskipun begitu, Lettieri dijangka menjadikan Poramet, Brown, Emil Roback dan Denis Busnja sebagai sandaran gol pasukan itu.
Selain mereka, The Kirins turut mengharapkan pengalaman bekas bintang Liverpool, Aly Cissokho untuk memastikan benteng pasukan itu tidak dibocori jentera serangan Merah Kuning.
Selangor dan Muangthong bakal berentap di Stadium Rajamangala pada 19 September ini.