Pemain baru Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Muhaimin Izuddin mencuri tumpuan dalam aksi terbaru Piala MFL pada 6 Oktober lalu.
Muhaimin yang menyertai Sang Kijang Emas secara pinjaman dari Penang FC membantu pasukan itu mengikat Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II 3-3.
Kelantan DN mendahului seawal minit kelapan menerusi Zuasyraf Zulkiefle. Kelebihan pelawat tidak bertahan lama apabila Aiman Danish Abdul Azim menyamakan kedudukan pada minit ke-17.
Muhaimin kemudiannya menjadi penggerak kepada dua gol Kelantan DN seterusnya menerusi Amirul Shafik Che Soh dan Danial Aiman Azmi pada babak kedua.
Walau bagaimanapun, JDT II memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata menerusi gol Gabriel Nistelrooy dan Muhamad Alif Abdul Mutalib.
Keputusan ini sudah cukup buat Harimau Selatan kembali menerajui carta liga Piala MFL dengan 21 mata. Manakala Kelantan DN pula di tangga kelima dengan 18 mata.
Muhaimin belum merekodkan sebarang penampilan buat Sang Kijang Emas dalam Liga Super. Walau bagaimanapun, beliau disenaraikan sebagai pemain simpanan untuk aksi menentang JDT dan Negeri Sembilan FC.
Selain Muhaimin, Kelantan DN merekrut Washington Brandao, Layth Kharoub, Aung Kaung Mann, Hakimi Abdullah dan Fikri Che Soh sebagai pemain baru pasukan dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M).