Bekas penggempur PJ City FC, Washington Brandao sah memperkuat jentera serangan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Perpindahan ini disahkan pengurusan Kijang Emas menerusi satu pengumuman di platform media sosial rasmi mereka.
“Kelantan Darul Naim FC menandatangani penyerang kelahiran Brazil, Washington Brandao pada perpindahan kedua Liga Malaysia 2024. Pemain berusia 34 tahun ini pernah beraksi bersama PJ City FC selama dua musim pada tahun 2019-2020,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pengumuman ini sekaligus menjawab teka-teki pasukan Liga Malaysia (Liga M) mana dari Pantai Timur yang berjaya menyambar khidmat penyerang berusia 34 tahun itu.
Brandao menjadi pemain terbaru memperkuatkan pasukan Pantai Timur itu. Sebelum ini, Kelantan DN merekrut Fikri Che Soh, Layth Kharoub, Aung Kaung Mann, Hakimi Abdullah dan Muhaimin Izzudin.
Bisa Layth, Kaung Mann dan Brandao dijangka ditagih jurulatih Kelantan DN, Park Jae-hong untuk menambah gol pasukan itu. Ketika ini, mereka hanya menjaringkan empat gol daripada sembilan perlawanan liga.
Penyerang Brazil itu dijangka tiba di Malaysia pada 19 September ini untuk bergabung dengan barisan pemain Kijang Emas.
Selain PJ City, Brandao pernah beraksi untuk HB Koge dan Vendsyssel FF (Denmark), Hoang Anh Gia Lai (HAGL) (Vietnam) dan Abahani Limited Dhaka (Bangladesh).