Advertisements
Mukhairi Ajmal Tak Puas Hati Dengan Musim 2023
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Pemain Selangor FC yang juga kapten skuad kebangsaan bawah 23 tahun, Mukhairi Ajmal menganggap tahun 2023 adalah kurang baik selepas sasaran peribadi beliau gagal direalisasikan.

Advertisement

Mukhairi berharap tahun 2024 akan menjadi lebih baik buat beliau lebih-lebih lagi beliau turut akan mengetuai skuad bawah 23 negara ke Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

“Alhamdulillah, saya rasa cuti saya sudah cukup. Dan kita kembali untuk musim 2024-2025. Saya rasa gembira kerana dapat kembali bersama pasukan. Dan ini juga persediaan untuk Piala Asia B-23.

Advertisement

“Bulan ini saya kena bekerja lebih daripada orang lain kerana kita pun tahu perlawanan (liga) bulan 5, (Piala) Asia bulan 4. Dan saya harap saya dapat bekerja keras untuk tahun ini.

“Apa yang saya tak puas hati pada tahun lepas ialah saya tak dapat capai sasaran, tak dapat jaringkan gol yang banyak. Saya tak dapat capai sasaran untuk bantu rakan jaringkan gol atau bantuan (gol).

Advertisement

“Saya harap tahun ini lebih baik untuk saya dan saya tambahbaik apa kekurangan saya pada tahun lepas Insya Allah untuk tahun ini. Saya harap dapat bagi yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya,” luah Mukhairi dalam sesi sidang media kerjasama Selangor dan Daikin di Sungai Buloh.

Advertisement

Pemain tengah berusia 22 tahun itu optimis untuk menghadapi musim baharu bersama Selangor dengan beliau menetapkan sasaran peribadi untuk meledak sekurang-kurangnya 10 gol.

“Sasaran saya pada musim ini Insya Allah 10 gol untuk semusim. Tapi kalau lebih daripada itu, itu rezekilah. Sebab kita tahu bukan mudah untuk menjaringkan gol. Insya Allah, saya akan mencuba yang terbaik,” jelas Mukhairi lagi.

Advertisement

Untuk rekod, Mukhairi telah beraksi dalam 27 perlawanan bersama Selangor musim lalu dengan berjaya meledak enam jaringan selain menghasilkan tiga bantuan gol.

Selangor bakal berdepan musim yang getir tahun ini dengan menjadi pasukan yang membawa cabaran Malaysia di Liga Juara-Juara AFC 2 selepas menjadi naib juara Liga Super 2023 di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).