Bekas bek kiri Johor Darul Ta’zim (JDT), Murilo Henrique sah kembali menyarung jersi kelab Finland, SJK Seinäjoki.
Sebelum ini, nama Murilo Henrique disahkan antara 11 orang pemain yang diumumkan tidak lagi bersama pasukan JDT di musim hadapan selain kapten Harimau Selatan, Jordi Amat.
Destinasi seterusnya buat Murilo menjadi tanda tanya ramai peminat selepas pertahanan berkaki kidal berusia 31 tahun itu mempunyai kelebihan untuk beraksi di posisi menyerang dan bertahan.
Kelebihan unik itu dilihat umpama aset penting buat pasukan lain yang berhasrat untuk membawa masuk Murilo Henrique kerana mampu untuk memainkan peranan di pelbagai posisi.
Menerusi sebuah kiriman video di laman media sosial, Murilo Henrique telah sah diperkenal secara rasmi sebagai tonggak baharu SJK Seinäjoki bagi menghadapi saingan pada musim ini.
Video menarik tersebut memaparkan kelibat Murilo yang tiba mendarat di OmaSP Stadion dengan menaiki helikopter dan sempat menyarung jersi SJK Seinäjoki sambil melayani para peminat.
“Murilo Henrique telah menandatangani kontrak bersama SJK Seinäjoki hingga akhir musim 2025,” umum kelab dari Finland itu.
Malah, pertahanan kelahiran Brazil ini tidak dapat meluahkan perasaan gembira apabila dapat kembali bermain untuk SJK Seinäjoki yang disifatkan umpama impian bertukar menjadi realiti.
”Saya tak mempunyai sebarang kata untuk gambarkan rasa dapat kembali pulang ke rumah.”
”Saya amat bersyukur kepada segalanya dan untuk semua pihak yang membuat kemungkinan ini menjadi realiti.”
”Terima kasih semua, mari jadikan mimpi bertukar kenyataan bersama,” tulis Murilo Henrique di laman Instagram.
Untuk rekod, Murilo pernah beraksi bersama SJK Seinäjoki bermula pada musim 2020 sebelum berkelana ke Malaysia bagi menyertai JDT ketika di permulaan musim 2024-2025 lalu.
Sepanjang di JDT, Murilo telah merekodkan 17 penampilan dan mencetak hanya satu gol selain melakukan 3 bantuan jaringan dalam semua pertandingan di peringkat domestik serta benua.