Myanmar terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Laos dalam aksi terbaru Kumpulan B ASEAN Championship 2024.
Selepas berjaya mengikat Indonesia dan Filipina, anak buah Ha Hyeok-jun semakin bersemangat memburu kemenangan sulung dalam Kumpulan B. Chinthe turut hadir dengan misi sama selepas hanya merekodkan satu seri dan satu kekalahan.
Penyerang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Aung Kaung Mann menjadi sandaran gol pengendali Myanmar, Myo Hlaing Win. Penyerang muda Ezra, Peter Phanthavong pula menjadi pilihan Hyeok-jun untuk merobek gawang tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan Million Elephants hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Peter. Malangnya, penjaga gol Chinthe, Zin Nyi Nyi Aung pantas merampas bola sebelum penyerang berusia 18 tahun itu melepaskan rembatan.
Meskipun Myanmar dilihat mendominasi perlawanan, Hlaing Win mengambil langkah drastik dengan mengeluarkan Kaung Mann dan Thet Hein Soe pada minit ke-24.
Beliau memasukkan Win Naing Tun dan Oakkar Naing untuk memantapkan barisan tuan rumah. Chinthe hampir meraih gol pendahuluan Maung Maung Lwin tetapi bola rembatannya berjaya dikeluarkan kapten Laos, Phetdavanh Somsanith pada minit ke-30.
Gawang Million Elephants akhirnya bocor dua minit selepas itu. Lwin Moe Aung berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan penjaga gol pelawat, Xaysavath Souvanhansok.
Laos kemudiannya membuat pertukaran pemain awal pada minit ke-40 dengan memasukkan Kydavone Souvanny. Kydavone masuk menggantikan Phousomboun Panyavong.
Myanmar terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Laos tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Chinthe terus mencari peluang untuk menggandakan kelebihan gol mereka.
Kapten Myanmar, Thiha Zaw hampir menambah gol kedua pada minit ke-49 tetapi tandukannya ke arah gawang Laos tersasar.
Maung Lwin menyangka telah menambah gol kedua Chinthe 10 minit selepas itu. Keceriaan penyokong di Stadium Thuwunna tidak kekal lama apabila gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
Kegagalan Myanmar memanfaatkan setiap peluang yang terhidang dihukum Million Elephants pada minit ke-77. Situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Chinthe pantas dimanfaatkan Kydavone untuk gol penyamaan.
Empat minit kemudian, giliran Chony Waenpaserth meletakkan Laos di hadapan. Selepas berjaya melepasi cabaran pertahanan Chinthe, Chony mudah menewaskan Nyi Nyi Aung.
Tatkala Million Elephants menyangka mereka dapat mencuri tiga mata di Stadium Thuwunna, Naing Tun memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada minit ke-87.
Naing Tun memastikan tiga mata penuh sah menjadi milik Myanmar dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan. Beliau turut dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.3.
Keputusan ini menyaksikan Myanmar kini di tangga ketiga Kumpulan B dan berkongsi empat mata dengan Indonesia. Laos pula jatuh ke tangga kelima sekaligus mengucapkan selamat tinggal kepada ASEAN Championship 2024.
Chinthe masih berpeluang layak ke separuh akhir ASEAN Championship 2024. Walau bagaimanapun, mereka berdepan misi sukar kerana perlu mengalahkan Vietnam pada 21 Disember ini.