Nafuzi Zain Kembali Ke Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Bekas jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain sah kembali ke pangkuan Terengganu FC.

Pelantikan beliau sebagai jurulatih baharu Peteh diumumkan pengurusan pasukan itu dalam satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Terengganu FC secara rasminya mengumumkan pelantikan Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih pasukan bagi menghadapi saingan musim 2026/2027.

“Kepulangan NZ menandakan ada tugas yang masih belum selesai dalam usaha beliau membina semula kekuatan pasukan serta mengembalikan Terengganu FC ke landasan yang lebih kukuh.

“Dengan pengalaman, karakter serta pemahaman mendalam terhadap DNA bola sepak di negeri Terengganu, NZ dilihat mampu memimpin pasukan ke arah yang lebih baik bermula musim ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Selepas Nafuzi berundur sebagai ketua jurulatih Malaysia B-23, ini membuka jalan kepada beliau kembali memikul tugas sebagai jurulatih Terengganu.

Ini kali kedua Nafuzi memikul tugas sebagai jurulatih Peteh. Sebelum ini, beliau memikul peranan sama dari 2019 hingga 2022 sebelum menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2023.

Sentuhan Nafuzi kembali ditagih untuk membantu pasukan itu memburu kelompok tiga pasukan teratas Liga Super. Antara pencapaian terbaik beliau sebagai jurulatih ialah pingat gangsa Sukan SEA 2025 bersama skuad Malaysia B-23.