Blog
Background Photo: Unifi TV
Advertisements

Sejak pertama kali menyaksikan corak permainan pasukan Terengganu setelah Nafuzi Zain mengambil alih pasukan ini sekitar tahun 2019, saya terus mengesan sesuatu yang menarik.

Nafuzi hadir dengan salah satu cabang aspek bola sepak moden iaitu playing out from the back – membina serangan dari belakang, bermakna tiada lagi tendangan lambung daripada penjaga gol mencari penyerang atau targetmen. Bermain begini sangat mencabar bagi pasukan yang baru cuba mengaplikasikannya kerana apabila pasukan lawan menyedari penjaga gol tidak melakukan tendangan lambung, mereka selesa melakukan high pressing. Terengganu bergelut ketika itu untuk bermain begini dan Nafuzi sendiri sering berteriak sambil menunjuk-nunjuk tangan beliau dari tepi padang apabila pemain bingung merealisasikan game plan.

‘Nafuziball’ & Positional Play

‘Nafuziball’ hanyalah istilah bola sepak yang mungkin dicipta oleh penyokong, penganalisis atau media kerana pasukan Terengganu sudah mula memperlihatkan MODEL PERMAINAN yang jelas semenjak Nafuzi Zain mengambil alih. Ia lumrah dalam bola sepak apabila istilah begini tercipta kerana identiti permainan sesebuah pasukan itu mula menonjol serta memikat, jadi berbeza daripada pasukan lain.

Advertisements

Contoh: ‘Wengerball’ (Arsene Wenger-Arsenal), ‘Sarriball’ (Maurizio Sarri-Napoli,Chelsea), Total Football (Johan Cruyff, Rinul Michels-Holland).

Pada pandangan saya; ‘Nafuziball’ adalah idea atau konsep Positional Play yang masih belum sempurna.

Mengkaji permainan Terengganu FC bermula separuh kedua Liga Super musim ini, objektif dan juga ciri-ciri Positional Play ada pada pasukan TFC; sama ada memang ianya direncanakan mahupun terjadi secara tidak sengaja.

Advertisements

APA SEBENARNYA POSITIONAL PLAY? – Positional Play adalah falsafah bola sepak yang mempunyai beberapa prinsip. PRINSIP UTAMA-nya adalah untuk mendapatkan KELEBIHAN (SUPERIORITY) – Numerical Superiority, Qualitative Superiority dan Positional Superiority. Positional Play berkaitan MEMPOSISIKAN PEMAIN DALAM KEDUDUKAN TERBAIK ATAU TEPAT DI DALAM PADANG UNTUK MENDAPATKAN SUPERIORITY dan salah satu aspek untuk mendapatkan POSISI TEPAT ATAU TERBAIK DEMI MENCIPTAKAN SUPERIORITY ini adalah dengan PERTUKARAN POSISI atau ROTASI (ROTATION) antara pemain.

Sejarah Positional Play

Kebanyakan jurulatih, penganalisis serta pakar-pakar bola sepak sepakat bahawa Positional Play ini adalah serpihan idea daripada konsep Total Football yang dibangunkan Johan Cruyff dan Rinus Michels. Meski Pep Guardiola merupakan jurulatih yang mempopularkan Positional Play (kerana keberkesanan serta dominasi pasukan yang diuruskan beliau) sehingga falsafah ini diamati lantas dimodifikasi beberapa jurulatih terbaik di dunia, namun menurut Guardiola; beliau sebenarnya mengamati-mengkaji Positional Play yang dipamerkan [Swansea-Michael Laudrup, tahun 2012-2014] dan juga [Rayo Vallecano-Paco Jemez, tahun 2012-2016].

Bagaimana [Terengganu FC-Nafuzi Zain, musim 2021] bermain

Terengganu FC bermain dengan dua formasi utama iaitu 4-2-3-1 dan 4-3-3 sejak kemasukan Habib Haroon ke dalam pasukan. Namun pada pandangan saya; sama ada 4-2-3-1 mahupun 4-3-3, kedua-dua formasi ini menghadirkan objektif sama iaitu overload di bahagian midfield. Guardiola juga menganggap formasi hanya angka. Apa yang penting adalah kesempurnaan pemain beliau melakukan tugas covering di dalam padang berdasarkan pergerakan bola.

Advertisements

Untuk memudahkan, saya rungkai corak permainan pasukan Terengganu FC berdasarkan 4 Fasa Permainan (artikel Membedah Tactical Periodisation).

Attacking Organisation (pasukan memegang posesi bola dengan objektif menyerang):

TFC playing out from the back. Habib Haroon akan sentiasa tuck in antara 2 CB (Salida Lavolpliana) untuk memberikan Numerical Superiority ketika 2 penyerang pihak lawan agresif melakukan pressing. Salida Lavolpliana atau terjemahan terusnya bermaksud ‘jalan keluar La Volpe’ adalah gaya permainan bola sepak unik. Menurut Guardiola; ianya mula dimainkan skuad Mexico tahun 2006 yang ketika itu dibimbing jurulatih asal Argentina – Ricardo La Volpe. Salida Lavolpliana adalah gerakan DM tuck in antara 2 CB untuk memberikan Numerical Superiority ketika aksi pressing mula dilakukan 2 CF pasukan lawan. Ianya akan membentuk situasi 3vs2 atau 4vs2 (jika GK terlibat aktif). Pada masa kini terdapat banyak variasi Salida Lavolpliana, bukan hanya DM tuck in antara 2 CB sahaja. Saya akan menulis terpecinci hal ini jika berkesempatan.

Nafuziball

TFC punya pelbagai gaya menyerang. David Da Silva kadang bertindak sebagai False 9 dengan drop deep untuk menerima bola sekaligus membuka ruang buat pemain lain. Lihat contoh dalam gambar di bawah.

Advertisements

Antara aspek Positional Play adalah Rotation untuk membuka pertahanan lawan. TFC kerapkali melakukan ini ketika membina serangan. Antara pemain yang aktif bertukar posisi adalah Faiz Nasir-Dechi Marcel, Makan Konate-David Da Silva, Faiz Nasir-Arif Fadzilah, Faisal Halim-Azarul Nazarith, Faisal Halim-Dechi Marcel. Lihat gambar.

Aspek penting dalam Positional Play adalah pembentukan triangle ataupun diamond untuk mencipta Numerical Superiority (kelebihan bilangan pemain di bahagian padang tertentu seperti 3vs2, 2vs1). Ini kerapkali terjadi di bahagian half space dan juga flank kiri serta kanan TFC ketika FB mereka melakukan overlapping mahupun underlapping. Lihat contoh dalam gambar di bawah.

Rajah di atas adalah contoh sempurna Positional Play. Jika ‘dibentangkan’ Guardiola’s Grid pada rajah ini, pasti posisi setiap pemain berada dalam grid yang betul serta menepati syarat-syarat Guardiola’s Grid. Guardiola’s Grid adalah grid padang yang dicipta Pep Guardiola untuk memudahkan kefahaman pemain berkenaan posisi yang harus mereka tepati.

Satu lagi aspek Positional Play yang kelihatan dalam corak permainan TFC adalah ‘freeman’ yang tercipta daripada gerakan 3rd man run. Ini bertujuan untuk menciptakan Qualitative Superiority (pemain paling berkualiti daripada aspek teknikal pasukan TFC akan bertembung dengan pemain paling lemah pasukan lawan dalam situasi 1vs1). Makan Konate dan Faiz Nasir kerap menjadi 3rd man. Lihat contoh gambar di bawah.

TFC sangat mengharapkan permainan hantaran lintang atau hantaran silang. Andai bola sudah berada di kaki WF atau FB mereka di bahagian half space mahupun flank, mereka segera overload kotak penalti untuk memberikan beberapa crossing options. Lihat contoh dalam gambar di bawah.

Rajah di atas menunjukkan pemain serangan mula overload kotak penalti menanti hantaran silang daripada WF. Ada sedikit kelewatan berlaku di mana kedua-dua FB tidak tiba di posisi di mana mereka seharusnya berada. Jika 2 FB berada di dalam bulatan biru, pastinya akan menghadirkan lebih ancaman ke kubu lawan. Jurgen Klopp berkata bahawa jika menyerang beliau perlukan sekurang-kurangnya 6 pemain untuk menghadirkan ancaman maksimal.

Tidak berlaku overload kotak penalti. Azam Azmi cuma punya satu passing option iaitu kepada David Da Silva. Di mana pemain-pemain lain yang seharusnya memberikan option hantaran cut back. LB sekali lagi lambat tiba. Makan Konate baru tiba di hujung D.

Satu lagi aspek Positional Play yang diterapkan TFC adalah Positional Superiority (meletakkan pemain antara 2 garisan pasukan lawan untuk tujuan eksploitasi ruang). Lihat contoh gambar di bawah yang membawa kepada peluang jaringan.

Rajah di atas menunjukkan Derchi Marcel meletakkan diri di antara garisan pihak lawan. Ini dipanggil Positional Superiority kerana secara teori Marcel sudah mendapatkan kelebihan dari segi posisi yang sangat tepat. Marcel melepaskan diri tetapi percubaan beliau terkena palang.

Defensive Transition (pasukan baru sahaja kehilangan posesi kepada pasukan lawan):

TFC cuba memenangi semula bola seawal mungkin dalam kawasan pasukan lawan dengan seorang pemain melakukan pressing manakala pemain lain yang berdekatan dengan bola cuba menutup passing options ketika pasukan lawan cuba mengitar bola atau merencanakan counter attack. Lihat beberapa contoh di bawah.

Defensive Organisation (pasukan lawan memegang bola, telah lepasi pressing awal):

TFC bertahan dalam shape 4-5-1 dengan David Da Silva di titik paling atas, 2 WF akan turun membantu 2 FB. Lihat contoh beberapa gambar di bawah.

Tetapi terdapat satu masalah dengan Defensive Organisation TFC kerana kadangkala pemain lekas emosi serta ingin memburu bola. Mereka terbawa-bawa untuk menang bola awal seperti ketika dalam fasa Defensive Transition. Alhasilnya; defensive shape terpecah dan mendatangkan bahaya kepada pasukan. Lihat contoh gambar di bawah.

2 rajah di atas menunjukkan kekeliruan fasa Defensive Transition & Defensive Organisation. Terdapat beberapa pemain yang meluru untuk press sedangkan pemain lain stay in line. Ini akan memecahkan shape lantas mendatangkan bahaya. Apakah Nafuzi harus mengajarkan kepada para pemainnya Guardiola’s 6 seconds rule? Guardiola’s 6 seconds rule – pemain boleh press awal untuk menang semula bola jika bola dirampas tetapi setelah 6 saat, pemain harus masuk ke dalam line untuk membentuk defensive shape untuk menutup semula ruang.

Attacking Transition (pasukan baru memenangi bola daripada penguasaan lawan):

TFC tidak begitu agresif melakukan counter attack. Mereka selesa untuk mengitar bola dan bermain perlahan terlebih dahulu. Cuma beberapa kali counter attack terjadi dan biasanya ia bercorak diagonal break up tetapi dengan kekurangan support daripada FB. Cuma pemain-pemain barisan hadapan sahaja yang terlibat.

Perkara ini mungkin terjadi kerana gaya TFC bermain iaitu pemain-pemain harus dekat antara satu sama lain untuk melakukan hantaran pendek. Seperti yang saya terangkan di atas, David Da Silva berada agak jauh dengan pemain lain ketika fasa Defensive Organisation. Itu menyebabkan pemain lain sedikit lambat mendekati beliau jika break counter attack berlaku dan bola dihantar kepada beliau terlebih dahulu.

Kekuatan [Terengganu FC-Nafuzi Zain, musim 2021]

  1. Terdapat ramai pemain yang benar-benar memahami taktikal bagaimana Nafuzi mahu pasukan ini bermain. Dapat diperhatikan fluidity yang lancar apabila TFC memegang bola bagi merencanakan serangan. Pemain-pemain seperti Makan Konate, Faiz Nasir, Dechi Marcel, David Da Silva, Faisal Halim, Arif Fadzilah dan Azarul Nazarith tidak kekok bertukar posisi untuk memberikan SUPERIORITY yang saya gariskan di atas.
  2. Pemain simpanan yang sama mantapnya dengan pemain utama. Jelas bahawa squad depth pasukan TFC sudah setaraf dengan pasukan JDT. Hakimi Abdullah untuk Faiz Nasir, Rahmat Makasuf untuk Faisal Halim, Azam Azmi untuk Azarul Nazarith, Sharin Sapien untuk Makan Konate dan beberapa lagi pertukaran yang signifikan. Apa yang menarik, pemain-pemain simpanan ini sangat elegan ketika membuat rotasi sesama mereka di dalam padang, tidak kalah dengan pemain utama. Malah, Hakimi Abdullah menjaringkan banyak gol meski hanya masuk sebagai supersub kebelakangan ini.
  3. Trio midfield serta Wing Forward (WF) yang menyengat. Tidak dinafikan gandingan Habib Haroon-Dechi Marcel-Makan Konate di jentera midfield sangat memberi impak. Memiliki Habib dan Marcel ibarat memainkan Kante-Jorginho. Habib dan Marcel boleh melakukan tugas defensif tetapi Marcel lebih versatile dan kemasukan Habib Haroon ‘membebaskan’ Marcel supaya lebih dinamik turun naik padang. Makan Konate juga sangat dominan di peranan no.10. Begitu juga dengan 2 pemain WF iaitu Faiz Nasir di sebelah kiri dan Faisal Halim di sebelah kanan yang seringkali memberi ancaman kepada pertahanan pasukan lawan dengan larian dan hantaran silang mereka.
  4. Keserasian 2 CB iaitu Carli De Murga dan Shahrul Nizam. Beberapa ketika lalu ramai pemerhati bola sepak menyatakan ‘ketidakpuashatian’ mereka kerana Arif Fadzilah tidak mendapat panggilan Tan Cheng Hoe untuk tugasan skuad kebangsaan. Namun kini saya kira Cheng Hoe harus buka mata juga kepada keberkesanan Shahrul Nizam. Pemain ini wira tak didendang TFC. Beliau nampaknya begitu serasi bergandingan dengan Carli De Murga. Beliau tahu membaca permainan, tahu posisi terbaik setiap kali diserang dan cekap juga melakukan bentesan. Saya berani jamin, jika beliau tidak mengalami kecederaan serius atau berpanjangan; tidak terbuai dengan perkara lain dan tetap fokus memajukan diri serta permainan, beliau boleh menjadi pengganti Aidil Zafuan untuk Harimau Malaya. Jika ada aspek permainan yang boleh ditambahbaik daripada Shahrul Nizam; saya cadangkan beliau mula belajar bagaimana menjadi lebih berani dengan bola, lebih berani drive dengan bola ke depan – menjadi seorang Ball Playing Defender. Ia pasti cocok dengan corak permainan TFC sekarang.

Kekurangan [Terengganu FC-Nafuzi Zain, musim 2021]

  1. Kecelaruan ketika fasa Defensive Organisation seperti diterangkan pada gambar rajah di atas. Beberapa pemain keluar dari posisi sepatutnya lantas memecahkan defensive shape. Contoh: Azam Azmi ketika TFC bertemu Melaka United hingga menyebabkan jaringan Sony Norde. Sebenarnya ini boleh dielakkan jika TFC tetap ingin memenangi bola awal meskipun sudah masuk ke fasa Defensive Organisation. Caranya adalah dengan ‘menyempitkan ruang permainan’ lawan – Jarak antara David Da Silva dengan garisan pertahanan back 4 TFC perlu tidak lebih daripada 60 meter. (Athletico Madrid-Diego Simeone lebih gila lagi dengan jarak tersebut hanya 40-50 meter). Ini bermakna defensive line harus ditinggikan dan David Da Silva perlu turun lebih ke bawah apabila bola dalam penguasaan lawan. Dengan ini, ‘ruang permainan’ lawan ‘disempitkan’. Dengan posisi pemain TFC yang agak rapat antara mereka, tidak susah untuk mereka press, tutup passing lane serta merampas semula bola. Cuma cara ini agak berisiko. Pastikan GK juga bersiap sedia untuk meluru keluar menjadi Sweeper Keeper.
  2. Tiada Plan B. Meskipun memiliki pemain simpanan yang sama taraf dengan pemain utama, tetapi skill set pemain simpanan tersebut sama dengan pemain utama. Contoh: sewaktu Faisal Halim mahupun Faiz Nasir buntu memecahkan pertahanan lawan, Hakimi Abdullah atau Rahmat Makasuf yang masuk menggantikan mereka berdua melakukan perkara yang sama, yang sudah pemain-pemain utama tersebut lakukan. Nafuzi hanya mengharap ‘keajaiban teknikal’ pertukaran yang dilakukannya. Sesekali pertukaran ini membuahkan hasil dan sesekali tidak. Saya kira bakal ada tactical twist atau plan B. Saya tertanya-tanya, mengapa tidak sesekali memainkan Faisal Halim dan juga Faiz Nasir sebagai Inverted Winger; mereka berdua bertukar posisi dalam permainan. Faiz cut inside dari kanan dan merembat dengan kaki dominan beliau. Kita tahu keupayaan Faiz kerana Faiz beberapa kali pernah melakukan jaringan begitu. Begitu juga dengan Faisal Halim. Sesekali biarkan Faisal cut inside dari kiri sebelum merembat dengan kaki kanan. Ini pastinya menambahkan lagi variasi serangan TFC.

Penutup

Saya melabelkan ‘Nafuziball’ adalah Positional Play yang belum sempurna kerana ianya jelas masih boleh diperbaiki dan dipertajamkan lagi. Namun begitu, MODEL PERMAINAN pasukan Terengganu FC kini semakin jelas. Seperti yang saya tulis dalam artikel Membedah Tactical Periodisation, jika TFC ingin terus mencabar dan mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super, kekalkan Nafuzi Zain serta staf-staf kejurulatihan yang sekarang. Tinggal masa sahaja yang menentukan; sama ada Terengganu FC mampu memecahkan dominasi JDT atau tidak.

Rujukan:

Adin Osman, 2014, Juego de Posicion under Pep Guardiola, spielverlagerung.com
Jeugodeposicion, 2019, Understanding el Juego De Posicion, jeugodeposicion.wordpress.com
Alex Stewart, 2021, Positional Play, Tifo Football, youtube.com
Perlawanan-perlawanan TFC di saluran Youtube Unifi

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram