Pemain tengah Nakhon Pathom United, Muhammad Abu Khalil mahu menjadikan pasukan itu sebagai batu loncatan menyertai Harimau Malaya.
Muhammad membuat penampilan pertama bersama The King Tigers pada 20 Januari lalu. Beliau diturunkan sebagai pemain gantian dalam aksi terbaru Thai League 1 menentang Bangkok United.
Kemasukan Muhammad dan rakan sepasukan, Taku Ito membantu pasukan itu mengejar tuan rumah yang mendahului menerusi Peerapat Notchaiya.
Nakhon Pathom meraih gol penyamaan pada separuh masa kedua menerusi Jennarong Phupha. Gol tersebut memastikan The King Tigers kekal tanpa kalah dalam enam perlawanan.
Muhammad melihat perpindahan pinjamannya dari Selangor ke Nakhon Pathom sebagai platform untuk meraih panggilan bersama Harimau Malaya.
“Ya, itu sasaran sebenar saya datang ke Thailand. Saya rasa Liga Thailand (merupakan) liga tertinggi,” katanya kepada SNE Sports.
“Jadi, saya berharap dapat melakukan yang terbaik di sini untuk mendapat panggilan skuad kebangsaan.”
Muhammad turut menyambut baik revolusi Harimau Malaya. Revolusi itu menyaksikan pelantikan Peter Cklamovski, Nafuzi Zain, Rob Friend dan Dr. Craig Duncan sebagai sebahagian daripada perubahan struktur pengurusan baru pasukan.
Pemain tengah berusia 18 tahun itu melihat revolusi itu bakal memberi impak positif kepada Harimau Malaya.
“Ya, saya rasa itu akan membantu Harimau Malaya kita pada masa akan datang,” tambahnya.
Muhammad bukan satu-satunya pemain Malaysia beraksi untuk Nakhon Pathom. Beliau turut disertai rakan sepasukan dalam skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Fergus Tierney.