Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney berkemungkinan berada dalam perancangan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim hadapan.
Perkara ini dinyatakan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam apabila ditanya tentang situasi penyerang berusia 22 tahun itu.
Tierney menunjukkan prestasi baik semasa bersama pasukan Thai League 1, Nakhon Pathom United sejak menyertai pasukan itu pada Januari lalu.
Meskipun gagal menghalang pasukan itu tersingkir ke Thai League 2, pengurusan JDT dilaporkan berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan beliau.
“Fergus Tierney dipinjamkan dari JDT ke Nakhon Pathom United. Jadi, saya rasa dia akan balik dan menyertai skuad senior JDT.
“Ini kerana dia beraksi dengan baik bersama Nakhon Pathom dengan beberapa gol yang dijaringkan,” katanya dalam Nadi Arena baru-baru ini.
Sepanjang bersama The King Tigers, bekas penyerang Chonburi itu merekodkan 13 penampilan dan tiga gol.
Selepas tamat musim 2024/25, Tierney dilihat sudah bersedia untuk memberi cabaran untuk kempen seterusnya.
“Tamat sudah musim 2024/25. Timba banyak pengalaman berharga. Tak sabar untuk cabaran seterusnya selepas ini,” katanya di Instagram.
Tierney bukan satu-satunya penyerang muda yang dijangka diserap dalam skuad senior Harimau Selatan. Penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy juga dijangka berada dalam perancangan sama.